Pemergian seseorang yang rapat dengan kita pastinya meninggalkan kesan mendalam, lebih-lebih lagi apabila individu berkenaan merupakan teman seperjuangan yang berkongsi susah dan senang dalam menjayakan sesuatu misi.
Begitulah situasi yang dilalui pengasas RARETV, Saiful Nang apabila kehilangan rakan seperjuangannya, Akhmal Asyraf atau lebih dikenali sebagai Kapten AA ketika mereka berada di Oman bagi menjalani penggambaran program Kembara Wahyu Ramadan 2027.
Lebih menyentuh hati, perjalanan yang bermula dengan empat orang itu kini perlu diteruskan tanpa kehadiran salah seorang daripada mereka.
Pergi berempat, balik bertiga
Menerusi satu hantaran di Threads, @saifulnang, berkongsi foto bersama beberapa anggota pasukan ketika berada di dalam sebuah pesawat dengan kapsyen yang cukup menyentuh hati.
“Pergi berempat balik bertiga. Musim ketiga, AA menyertai Kembara Wahyu di Mesir dan hasilnya cukup hebat. Musim keempat di Oman, kami hanya sempat menyiapkan empat episod pertama. Selebihnya...
“Tergendala. Wira Sudah gugur,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Saiful turut meluahkan persoalan sama ada mereka perlu menghentikan penggambaran selepas kehilangan Akhmal atau meneruskan perjuangan yang telah dimulakan bersama.

Persoal sama ada perjuangan perlu diteruskan
Menurut Saiful, kehilangan Akhmal membuatkan mereka seolah-olah kehilangan arah untuk meneruskan penggambaran program berkenaan.
“Teruskan perjuangan @akhmal_asyraf atau cukup sahaja,” katanya.
Ambil masa untuk berhenti seketika
Dalam hantaran yang sama, Saiful turut berkongsi bahawa mereka mengambil masa untuk berhenti seketika bagi menguruskan urusan pemergian sahabat mereka itu.
“Kita berhenti sekejap. Nak hantar AA cop pasport pergi Negara Abadi,” tulisnya.
Terdahulu, Akhmal disahkan meninggal dunia pada jam 6.58 petang (waktu Oman) pada 26 November 2026 selepas dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru.
Allahyarham sebelum itu berada di Oman bersama pasukan produksi bagi menjalani penggambaran Kembara Wahyu musim keempat yang dijadualkan berlangsung selama 14 hari.

Penggambaran tersebut ketika itu baru memasuki hari keenam sebelum keadaan kesihatan Allahyarham merosot sehingga memerlukan rawatan rapi.
Pemergian Allahyarham pastinya meninggalkan satu kekosongan besar buat rakan seperjuangan yang pernah berkongsi perjalanan dan pengalaman bersama beliau.
Semoga segala usaha dan sumbangan Allahyarham dalam menyampaikan ilmu menerusi penghasilan kandungan bermanfaat menjadi amal jariah yang berpanjangan. Al-Fatihah.

