Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pengurusan Haji Kontemporari: Sinergi Sistem Dan Disiplin Jemaah
MAKKAH -- Kejayaan pelaksanaan ibadah haji pada era kontemporari kini tidak lagi sekadar bergantung kepada kesediaan individu, malah menuntut keseimbangan antara sistem pengurusan profesional yang cekap dan disiplin tinggi daripada para jemaah.
Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Prof. Madya Datuk Dr. Luqman Haji Abdullah, menegaskan bahawa dalam mendepani cabaran logistik dan kepadatan jutaan manusia, sinergi antara pihak berautoriti dan jemaah menjadi asas utama bagi mencapai maqasid haji yang sempurna dan selamat.
Menurut Dr. Luqman, yang juga merupakan Pakar Rujuk Ibadat Haji bagi musim 1447H/2026M, pengalaman luas Lembaga Tabung Haji (TH) dalam menguruskan lebih 31,000 jemaah Malaysia sentiasa mendapat pengiktirafan tinggi, termasuk daripada kerajaan Arab Saudi.
"Tahun ini, saya berkesempatan melihat secara dekat bagaimana rombongan petugas yang diketuai Pengarah Haji TH, Tuan Haji Hisham Harun, menggerakkan operasi yang sangat kompleks. Ia melibatkan koordinasi profesional dalam aspek perubatan, bimbingan ibadat, keselamatan, kaunseling, dan teknologi maklumat," ujar beliau.
Memandangkan kawasan di Arafah, Muzdalifah, dan Mina (Masyair) mempunyai keluasan yang terhad, TH telah mengadaptasi pelbagai pendekatan teknologi moden bagi mengurangkan risiko keselamatan dan kesihatan.
Antaranya termasuklahpenggunaan aplikasi digital bagi pemantauan jemaah, sistem kad pengesahan identiti, jadual pergerakan jemaah secara berperingkat, kawalan keselamatan dan kesihatan yang sistematik dan pengurusan pengangkutan dan logistik secara berpusat.
Semua langkah ini bertujuan menjaga maslahah jemaah serta mengelakkan kemudaratan yang boleh menjejaskan nyawa dan kelancaran ibadah.
"Sistem dan teknologi hanyalah alat bantu. Kemajuan tersebut tidak mampu mengurus kerohanian para jemaah. Keikhlasan, kesabaran, dan ukhuwah tetap menjadi roh utama yang perlu ada dalam diri setiap tetamu Allah," tambahnya lagi.
Secara keseluruhannya, pengurusan haji moden memerlukan keseimbangan antara kemudahan infrastruktur terbaik dengan kesediaan jemaah untuk mengurus diri, masa, dan emosi dengan baik.
Gabungan elemen profesionalisme dan penghayatan spiritual ini dilihat sebagai formula terbaik bagi memastikan kelancaran ibadah haji pada masa kini dan akan datang
Dr. Luqman turut mengingatkan bahawa kepatuhan jemaah terhadap peraturan yang ditetapkan oleh pihak TH bukan sekadar memenuhi kehendak pentadbiran, tetapi merupakan sebahagian daripada tuntutan agama untuk menjaga nyawa.