Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pengguna TuJu Meningkat Selepas Saranan PM, LLM Mohon Maaf Susulan Gangguan Teknikal

Pengguna TuJu
Kredit: Bernama

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memohon maaf selepas aplikasi navigasi lebuhraya, TuJu mengalami gangguan teknikal.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis, LLM memaklumkan pihaknya menerima maklum balas berhubung gangguan tersebut susulan peningkatan ketara jumlah pengguna selepas saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya mempertimbangkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan.

Pengguna TuJu meningkat

Menurut LLM, pihaknya bersama penyedia aplikasi kini sedang berusaha mengenal pasti punca gangguan dan memulihkan kestabilan sistem.

“LLM memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna. LLM bersama penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB), sedang mengambil tindakan bagi mengenal pasti punca gangguan, memulihkan kestabilan sistem dan meningkatkan keupayaan aplikasi untuk menampung pertambahan pengguna.

“Dalam masa yang sama, LLM turut memberi perhatian kepada maklum balas pengguna berhubung fungsi navigasi, ketepatan maklumat laluan dan pengalaman penggunaan aplikasi.

“Penambahbaikan akan terus dilaksanakan bagi memastikan TuJu dapat memberikan perkhidmatan yang lebih stabil, tepat dan mesra pengguna,” katanya.

LLM berkata pihaknya juga memahami bahawa kepercayaan pengguna perlu dibina melalui mutu perkhidmatan yang boleh diharapkan.

“Sehubungan dengan itu, usaha memperkukuh TuJu bukan sahaja tertumpu kepada kestabilan sistem, malah merangkumi peningkatan fungsi navigasi, ketepatan maklumat dan keupayaan aplikasi dalam memenuhi keperluan pengguna.

“Selaras dengan keutamaan kerajaan untuk memperkukuh keselamatan siber dan kedaulatan digital negara, LLM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan pihak berkaitan dalam memperkukuh ekosistem navigasi tempatan, termasuk aspek keselamatan dan tadbir urus data yang perlu diberi perhatian,” katanya lagi.

LLM menghargai kesabaran serta maklum balas orang ramai dan memberi jaminan bahawa isu yang dibangkitkan akan diteliti secara serius. Maklumat lanjut mengenai status pemulihan dan penambahbaikan aplikasi akan disalurkan melalui saluran rasmi LLM dan TuJu.

Orang ramai yang ingin membuat sebarang aduan atau maklum balas berhubung aplikasi TuJu boleh dikemukakan melalui e-mel kepada [email protected].

Untuk rekod, TuJu mula diperkenalkan pada 26 November 2025 sebagai aplikasi navigasi lebuh raya yang dibangunkan oleh PCSB dengan kerjasama LLM.

Selain maklumat perjalanan, aplikasi berkenaan turut menyediakan maklumat keadaan trafik, kemudahan lebuh raya dan bantuan kecemasan bagi memenuhi keperluan pengguna sepanjang perjalanan.

Intipati
  • LLM memohon maaf selepas TuJu mengalami gangguan teknikal susulan peningkatan ketara pengguna.
  • Peningkatan pengguna berlaku selepas Perdana Menteri menyarankan penggunaan aplikasi navigasi tempatan dipertimbangkan.
  • LLM dan PCSB sedang mengenal pasti punca gangguan serta memulihkan kestabilan sistem.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan