Pengalaman mendaki yang sepatutnya menjadi satu pengembaraan menarik bertukar menjadi detik mencemaskan buat seorang pelancong dari Jerman apabila terpaksa berdepan angin kencang ketika melintasi sebuah jambatan gantung di Taman Negara Torres del Paine, selatan Chile.
Pelancong dikenali sebagai Henry Thomas itu sedang mengikuti ekspedisi selama tujuh hari menerusi laluan O Circuit di taman negara berkenaan sebelum kejadian tersebut berlaku.

Menurut laporan New York Post, tiupan angin yang sangat kuat menyebabkan jambatan gantung yang dilaluinya bergoyang dengan ketara sehingga menyukarkannya untuk mengekalkan keseimbangan.
Berdasarkan maklumat daripada pihak pentadbiran taman negara, CONAF, jambatan di kawasan berkenaan dibina pada ketinggian melebihi 20 meter.
Antara jambatan terkenal di lokasi itu ialah Jambatan Las Guardas sepanjang 52 meter yang merentangi sebuah gaung sedalam kira kira 45 meter.
Ketika kejadian, Thomas yang membawa beg galas seberat kira kira 18 kilogram terpaksa mengimbangi tubuhnya mengikut pergerakan jambatan bagi mengelakkan dirinya terjatuh.

Lebih mencemaskan, teman wanitanya berjaya melintasi jambatan tersebut dengan selamat beberapa minit sebelum kejadian itu berlaku.
Rakaman video yang tular memperlihatkan Thomas berdiri dengan kedua dua kaki dijarakkan bagi memastikan kedudukannya lebih stabil ketika jambatan berkenaan terhayun ditiup angin.
Dia turut dilihat berpaut menggunakan kedua dua tangan pada tali dawai di sisi jambatan ketika tiupan angin kuat terus melanda kawasan tersebut.
Detik mencemaskan itu dirakam seorang lagi pendaki, Martin Esteban Gonzalez Lopez yang bertemu pasangan berkenaan ketika melakukan aktiviti pendakian di laluan sama.
Lopez kemudian merakam kejadian tersebut menggunakan kameranya ketika Thomas berusaha untuk melepasi jambatan berkenaan.

