Pendaki Croatia, Mauro Persic, 46, yang diselamatkan selepas lapan hari bersendirian dalam keadaan cedera di Gunung Kinabalu mengakui kesal dengan risiko yang diambilnya, namun pengalaman itu pada masa sama mengukuhkan kepercayaannya terhadap sifat belas ihsan manusia.
Persic berkata, pengalaman getir berkenaan menyedarkannya tentang nilai bantuan orang lain, terutama apabila kira-kira 40 anggota penyelamat dan porter terpaksa mempertaruhkan nyawa untuk membawanya turun selepas dia terlalu lemah dan cedera untuk meneruskan perjalanan sendiri.

Katanya dalam hantaran di Facebooknya, antara perkara yang paling menyentuh perasaannya ialah pengorbanan seorang porter yang dianggarkan masih berusia sekitar 15 tahun ketika mengusungnya menuruni gunung.
“Saya dapat merasai setiap hentakan menerusi kaki dan lututnya. Ia menghancurkan hati saya.
“Adakah semuanya berbaloi? Saya tidak tahu. Mungkin tidak. Badan yang cedera. 40 orang mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan seorang,” katanya.
Menurut Persic, walaupun tidak mengenali kebanyakan individu yang datang membantunya, layanan yang diterimanya sepanjang tempoh getir itu membuatkan beliau amat terharu.
Ujarnya, anggota penyelamat membawakan makanan, coklat dan makanan ringan selain berkongsi masa bersamanya di sekitar unggun api ketika operasi menyelamat diteruskan.
“Dalam dunia yang diperintah oleh ahli politik yang korup, korporat yang tamak dan pembunuh kanak-kanak, ini adalah satu kontras yang amat melegakan,” katanya.

Persic berkata, pengalaman itu tidak membuatkannya menyimpan kepahitan, sebaliknya menguatkan lagi keyakinannya bahawa sifat kemanusiaan, kemurahan hati dan keprihatinan masih wujud dalam diri manusia.
Jelasnya, detik bersama pasukan penyelamat di kawasan pergunungan itu menjadi antara pengalaman yang tidak akan dilupakannya sepanjang hayat.
Pendaki berkenaan sebelum ini diselamatkan menerusi operasi melibatkan pelbagai agensi selepas dilaporkan hilang dan ditemui dalam keadaan cedera selepas lapan hari di Gunung Kinabalu.
Dalam kejadian itu, Persic mengalami kecederaan pada kaki kanan dan rusuk kanan selain beberapa luka ringan pada tangan.
Persic yang kurang dua minggu sebelum kejadian menyertai perlumbaan pengembaraan lasak di kawasan Tambatuan, Kota Belud, kemudian mendaki Gunung Kinabalu menerusi laluan timur.
Laluan berkenaan merupakan antara denai yang menghubungkan kampung-kampung yang bergantung kepada sumber air mata air di kawasan Kundasang.

