Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pelancong Malaysia Catat Kunjungan Tertinggi Ke Indonesia Pada Mac 2026
Pelancong dari Malaysia mencatatkan kedudukan sebagai penyumbang terbesar kepada jumlah ketibaan pelawat asing ke Indonesia pada Mac 2026.
Antara News melaporkan angka lawatan antarabangsa bagi bulan tersebut meningkat 10.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu kepada 1.09 juta.
Timbalan Statistik Pengedaran dan Perkhidmatan, Ateng Hartono, memaklumkan bahawa pelancong Malaysia merekodkan 186,530 kunjungan, bersamaan 17.14 peratus daripada keseluruhan ketibaan.
“Berdasarkan kewarganegaraan, pelancong dari Malaysia kekal sebagai penyumbang utama kepada ketibaan pelawat ke Indonesia,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ateng berkata sektor pelancongan domestik turut menunjukkan peningkatan kukuh apabila mencatat 126.34 juta perjalanan pada Mac, naik 42.10 peratus berbanding Mac 2025.
Beliau menambah, jumlah perjalanan domestik bagi suku pertama 2026 mencecah 319.51 juta, meningkat 13.14 peratus tahun ke tahun.
Peningkatan itu katanya dipengaruhi oleh pergerakan tinggi orang ramai sempena musim perayaan Aidilfitri, dengan semua mod pengangkutan merekodkan lonjakan jumlah penumpang.
Menurut Ateng lagi, secara keseluruhan, ketibaan pelawat asing mencatat 3.44 juta bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, meningkat 8.62 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus menjadi paras tertinggi sejak 2020.
“Ketibaan pelancong asing bagi tempoh Januari hingga Mac 2026 ini merupakan pencapaian tertinggi sejak tahun 2020," ujarnya lagi.