Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 Selesai Dengan 1.33 juta Pertubuhan Telah Dibanci

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan bahawa operasi Banci Ekonomi 2026 (BE2026) bagi tahun rujukan 2025 telah selesai secara rasmi pada 31 Oktober 2026. Banci yang bermula pada 5 Januari 2026 ini meliputi lima sektor utama ekonomi, iaitu Pertanian, Perlombongan & Pengkuarian, Pembuatan, Pembinaan serta Perkhidmatan.

Penemuan awalan BE2026 di lapangan merekodkan 1.33 juta pertubuhan aktif, merangkumi 99.3 peratus daripada 1.34 juta pertubuhan yang dibanci. Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding 1.09 juta pertubuhan aktif yang direkodkan dalam BE2023. Walaupun tempoh pembancian di lapangan telah berakhir, namun mopping-up akan dilaksanakan dalam tempoh tiga minggu bermula 1 November sehingga 20 November 2026. Mopping-up merupakan amalan yang biasa dalam mana-mana pelaksanaan pembancian untuk memastikan semua pertubuhan ekonomi tidak tertinggal daripada liputan banci ini.

Dari segi taburan mengikut sektor, sektor Perkhidmatan mendominasi dengan 1.17 juta pertubuhan (87.5%), diikuti Pembinaan sebanyak 86.2 ribu pertubuhan (6.5%), Pembuatan 61.0 ribu pertubuhan (4.6%), Pertanian 18.3 ribu pertubuhan (1.4%) serta Perlombongan & Pengkuarian 1.1 ribu pertubuhan (0.1%).

Dalam sektor Perkhidmatan, subsektor Perdagangan Borong dan Runcit menyumbang 39.5 peratus daripada jumlah pertubuhan, diikuti Makanan & Minuman (14.2%) dan Perkhidmatan Persendirian & Lain-lain Aktiviti (12.4%). Subsektor Perkhidmatan Kewangan mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan tertinggi pertubuhan sebanyak 14.7 peratus, diikuti oleh Penginapan (14.5%), Makanan & Minuman (6.6%), Pentadbiran & Khidmat Sokongan (6.1%), Profesional (5.5%) dan Hartanah (5.1%).

Dalam sektor Pembuatan, subsektor yang merekodkan jumlah pertubuhan tertinggi terdiri daripada subsektor Produk makanan (19.3%) diikuti subsektor Produk mineral bukan logam, logam asas dan produk yang direka (18.4%) dan subsektor Produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan sebanyak 17.1 peratus daripada pertubuhan aktif sektor Pembuatan. Subsektor Produk Elektrik, Elektronik & Optikal mencatatkan pertumbuhan bilangan pertubuhan sebanyak 3.1 peratus berbanding tahun 2022, sejajar dengan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang memberi penekanan kepada pembangunan industri berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (High Growth High Value, HGHV) sebagai salah satu bidang tumpuan strategik negara.

Sektor Pembinaan merekodkan sebanyak 86.0 ribu pertubuhan aktif pada tahun 2025, mewakili 6.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pertubuhan di Malaysia. Aktiviti Pembinaan Pertukangan Khas mencatatkan sumbangan tertinggi sebanyak 34.4 peratus, diikuti oleh Pembinaan Bangunan Bukan Kediaman (25.8%) dan Kejuruteraan Awam (22.6%).

Industri Agromakanan terus menjadi tumpuan dalam sektor Pertanian, dengan aktiviti Tanaman Makanan merupakan antara penyumbang terbesar, merangkumi 15.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pertubuhan dan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 17.0 peratus. Aktiviti Ternakan Ruminan Pedaging dan Tenusu merangkumi 4.8 peratus daripada jumlah pertubuhan, dengan pertumbuhan 19.0 peratus, manakala Akuakultur menyumbang 6.7 peratus dengan peningkatan sebanyak 8.3 peratus.

Selangor, W.P. Kuala Lumpur dan Johor merekodkan bilangan pertubuhan aktif tertinggi dengan jumlah keseluruhan 643,355 pertubuhan, merangkumi 48.3 peratus daripada keseluruhan pertubuhan aktif di Malaysia.

BE2026 turut meliputi aktiviti ekonomi informal, termasuk penjaja jalanan, perniagaan bergerak dan rumah percutian. Aktiviti ini merangkumi perniagaan yang beroperasi tanpa premis tetap atau tidak berdaftar dengan mana-mana agensi kerajaan atau badan profesional. Sebanyak 93,597 pertubuhan informal telah dikenal pasti, manakala aktiviti rumah percutian merekodkan sebanyak 71,101 unit.

DOSM memaklumkan bahawa hasil terperinci BE2026 akan diterbitkan pada April 2027, setelah pemprosesan dan analisis data dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan ketepatan dan kualiti statistik yang dihasilkan. Sehubungan itu, penemuan awal yang diumumkan adalah tertakluk kepada semakan lanjut.

DOSM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pertubuhan perniagaan, agensi kerajaan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, persatuan industri, masyarakat, petugas banci serta seluruh warga DOSM atas kerjasama dan komitmen sepanjang pelaksanaan BE2026.

OpenDOSM NextGen adalah medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my.