Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pelakon Popular Tokusatsu Jepun, Kenji Ohba Meninggal Dunia
Pelakon veteran dan ikon tokusatsu Jepun, Kenji Ohba, dilaporkan meninggal dunia pada usia 72 tahun.
Perkara itu disahkan menerusi satu kenyataan yang dimuat naik oleh akaun X Japan Action Enterprise (@JaeChannel), yang memaklumkan bahawa mendiang menghembuskan nafas terakhir pada Rabu, 6 Mei 2026, selepas berdepan masalah kesihatan sekian lama.
Dalam kenyataan itu, pihak berkaitan merakamkan penghargaan atas segala sokongan dan kebaikan yang diberikan sepanjang hayat beliau.
“Upacara pengebumian dan penghormatan terakhir akan diadakan secara tertutup bersama ahli keluarga terdekat sahaja atas permintaan keluarga,” menurut kenyataan tersebut.
Ohba dikenali sebagai antara figura penting dalam siri “Metal Heroes” sekitar era 1980-an, khususnya menerusi watak Retsu Ichijouji atau lebih dikenali sebagai ‘Gavan’ dalam siri Space Sheriff Gavan.
Nama watak itu turut popular dalam kalangan peminat di Malaysia yang menyebutnya sebagai ‘Gaban’, sebuah siri yang pernah mencetuskan fenomena dalam kalangan kanak-kanak generasi 80-an dan 90-an melalui siaran televisyen tempatan.
Sepanjang kerjayanya, beliau juga pernah membintangi beberapa siri ''Super Sentai'', antaranya Battle Fever J sebagai Battle Kenya serta Denshi Sentai Denziman yang menampilkan dirinya sebagai Denzi Blue.
Dilahirkan di Ehime, Jepun pada Februari 1955, Ohba pada awalnya bergiat sebagai pelakon lagak ngeri sebelum berkembang menjadi salah seorang wajah paling dikenali dalam dunia tokusatsu Jepun.