ekumpulan pelajar dari Perak berjaya mencipta set kepala pintar untuk membantu golongan kurang penglihatan, sekali gus meraih kemenangan dalam pertandingan inovasi.
Pasukan InnovateZ dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bagan Datuk muncul juara Samsung Solve for Tomorrow 2026 selepas memukau juri dengan kreativiti, penerapan STEM dan potensi ciptaan mereka membantu masyarakat.
Kejayaan itu melayakkan mereka membawa pulang produk Samsung bernilai sehingga RM47,000 sebagai hadiah utama pertandingan berkenaan.
Berkongsi perasaan selepas dinobatkan sebagai juara, pasukan InnovateZ berkata mereka sangat gembira, terutama selepas mengharungi pelbagai cabaran sepanjang perjalanan menghasilkan ciptaan tersebut.
Pelajar MRSM Cipta Set Kepala Pintar Bantu Golongan Kurang Penglihatan

“Kami jarang mendengar tentang penyelesaian untuk membantu golongan kurang penglihatan, dan perkara itu mendorong kami mencipta set kepala ini untuk membantu mereka,” kata pasukan itu.
Mereka turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai sesuatu yang bermakna selepas segala usaha dicurahkan, selain berharap generasi akan datang mampu menghasilkan lebih banyak idea hebat melalui teknologi dan inovasi.
“Kami berharap generasi akan datang dapat menghasilkan idea yang lebih menarik dan berkesan, sekali gus membantu Malaysia lebih dikenali di seluruh dunia melalui teknologi dan inovasi,” kata mereka.
Tempat kedua pula dimenangi pasukan iSafePath menerusi projek iSafePath 2.0, iaitu platform keselamatan jalan raya yang menggunakan pengesanan masa nyata serta amaran dua hala untuk membantu pejalan kaki dan pemandu melintasi kawasan berisiko dengan lebih selamat.
Kemenangan itu melayakkan pasukan berkenaan menerima produk Samsung bernilai sehingga RM30,000.
Sementara itu, pasukan Replast meraih tempat ketiga menerusi inovasi mesra alam yang menukarkan sisa plastik kitar semula kepada batu bata tahan lama dan kalis air untuk pembinaan lebih lestari, dengan hadiah produk Samsung bernilai sehingga RM19,000.
Tempat keempat menjadi milik pasukan EcoTerraNitro yang membawa pulang produk Samsung bernilai sehingga RM10,000, manakala pasukan Primates di tempat kelima menerima hadiah bernilai sehingga RM8,000.
Pertandingan Samsung Solve for Tomorrow 2026 dianjurkan oleh Samsung Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaya bagi menggalakkan golongan muda menggunakan ilmu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) untuk menghasilkan perubahan positif.
Program itu menerima 106 penyertaan melibatkan 424 pelajar dari seluruh negara, merangkumi empat tema utama iaitu kelestarian alam sekitar, sukan dan teknologi, kesihatan serta pendidikan.
Ketua Pemasaran Korporat Samsung Malaysia Electronics, Agnes Wong, berkata inovasi bermula apabila seseorang berani bertanya, mencabar tanggapan sedia ada dan mengambil tindakan.
“Kami sangat berbangga dengan pencapaian inovator muda ini dan berharap mereka terus berkembang menjadi individu yang mampu membawa perubahan pada masa hadapan,” katanya.
Pengarah Pusat STEM Universiti Malaya, Profesor Madya Ir. Dr. Mas Sahidayana Mohktar, pula berkata kualiti idea yang diketengahkan tahun ini mencerminkan bakat, kreativiti dan kesungguhan golongan muda Malaysia.
Menurutnya, program itu memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman praktikal menggunakan ilmu STEM untuk menyelesaikan masalah sebenar, selain membangunkan kemahiran sebagai inovator masa hadapan.
Menerusi program berkenaan, pelajar turut dibimbing mengenal pasti masalah, mengembangkan idea dan membina prototaip, sekali gus membuka peluang untuk merealisasikan ciptaan mereka bagi memberi manfaat kepada masyarakat.

