Barisan Nasional (BN) akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15 sebelum menamatkan komitmen berkenaan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan untuk bersama Kerajaan Perpaduan dibuat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan komitmen itu akan terus dipertahankan sehingga penggal berkenaan berakhir.
“Dalam keadaan kompleks, kita mahu satu kompas tetap. BN buat keputusan bersama kerajaan selepas PRU15, komitmen kita tetap berada di dalam kerajaan sehingga tamat penggal ke-15.
“Ketika Parlimen dibubarkan, kita tidak lagi bersama dengan mereka. Ini janji kita,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Agung Tahunan Ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, komitmen berkenaan merupakan janji BN kepada Yang di-Pertuan Agong yang kemudiannya direalisasikan menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kerjasama BN dalam kerajaan tidak bermaksud parti itu mengetepikan identiti atau pendirian sendiri.
“Komitmen bersama kerajaan tidak bermakna BN menyerahkan identitinya atau berhenti mempunyai pendirian sendiri,” ujarnya.


