Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali bergelar pelajar apabila mendaftar untuk mengikuti pengajian Doktor Falsafah (PhD) kedua di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Selasa.
Perkembangan itu dikongsikan Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menerusi Facebook yang memaklumkan Ahmad Zahid memilih bidang TVET 2.0 sebagai tumpuan pengajian dan penyelidikannya kali ini.
Menurut Ahmad Maslan, beliau turut hadir bersama dua menteri ketika Ahmad Zahid mengisi borang pendaftaran dan menerima kad pelajar daripada Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin.
Dalam perkongsian sama, Ahmad Maslan mengucapkan tahniah kepada Ahmad Zahid dan menyifatkan bidang pengajian yang dipilih itu bersesuaian dengannya.
Beliau turut mendoakan agar segala urusan pengajian serta penyelidikan PhD kedua Ahmad Zahid dapat diselesaikan dengan jayanya.

