Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Panasonic Akan Tutup Kilang Pembuatan TV PAVCKM di Malaysia, 400 Pekerja Dijangka Terjejas

Panasonic Tutup kilang
Kredit: Panasonic

Panasonic Akan Tutup Kilang Pembuatan TV PAVCKM di Malaysia, 400 Pekerja Dijangka Terjejas

Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia (PAVCKM) mengumumkan akan menghentikan pengeluaran televisyen (TV) di Malaysia menjelang akhir September 2026.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, keputusan itu dibuat sebagai langkah besar dalam penyusunan semula operasi mereka bagi memperkukuh daya saing global.

"Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn. Bhd. (PAVCKM) akan menghentikan pengeluaran televisyen (TV).

"Pihaknya akan memindahkan pengeluaran pemain Blu-ray Disc ke China Hualu Panasonic AVC Networks Co., Ltd. (CHPAVC) di China menjelang akhir September 2026.

"Langkah ini diambil bagi mengukuhkan daya saing perniagaan AVC Panasonic," maklum kenyataan itu.

Selain itu, bagi meningkatkan daya saing produk serta mengoptimumkan operasi pembuatan Panasonic di Malaysia, PAVCKM juga akan menamatkan pengeluaran produk audio Hi-Fi berjenama Technics menjelang akhir Februari 2027.

Berikutan itu, pengeluaran produk tersebut akan dipindahkan ke sebuah lagi syarikat di bawah Kumpulan Panasonic.

"Panasonic akan terus menghasilkan produk audio di Malaysia sambil mempertingkatkan lagi kecekapan operasi dalam aktiviti pengeluarannya.

"Operasi jualan dan perkhidmatan bagi produk TV serta audio di Malaysia juga akan diteruskan seperti biasa," katanya.

Dianggarkan kira-kira 400 pekerja akan terjejas menjelang akhir Mac 2027 akibat penyusunan semula ini.

"PAVCKM sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan, agensi kerajaan serta Kesatuan Pekerja Industri Elektrik (Electrical Industry Workers' Union, EIWU) bagi memastikan semua pekerja yang terjejas menerima sokongan sewajarnya. Ia termasuk bantuan penempatan pekerjaan dan peralihan kerjaya," katanya lagi.

Tambah pihaknya, Malaysia kekal sebagai salah satu hab serantau utama Panasonic.

"Syarikat-syarikat di bawah Kumpulan Panasonic di Malaysia menggaji kira-kira 12,000 pekerja merentasi pelbagai fungsi perniagaan, termasuk pembuatan bernilai tambah tinggi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta aktiviti korporat.

"Panasonic akan terus melabur di Malaysia bagi menyokong strategi pertumbuhannya dalam rantaian bekalan bernilai tambah tinggi dan kekal komited untuk menyumbang kepada pembangunan negara serta komuniti setempat," maklum kenyataan itu.

Intipati
  • PAVCKM akan menghentikan pengeluaran TV dan memindahkan produksi pemain Blu-ray ke China.
  • Pengeluaran audio Hi-Fi Technics turut dihentikan menjelang Februari 2027 dan dipindahkan dalam kumpulan Panasonic.
  • Kira-kira 400 pekerja dijangka terjejas, dengan bantuan penempatan kerja dan peralihan kerjaya disediakan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan