OPPO bakal melancarkan siri telefon pintar terbaharunya, OPPO Find X10 Series, di Malaysia pada 22 Oktober ini dengan menawarkan teknologi pengimejan generasi baharu hasil kerjasama bersama Hasselblad.
Menurut kenyataan OPPO, siri telefon pintar utama itu menggabungkan perkakasan kamera dengan teknologi LUMO True Image Engine generasi baharu bagi menghasilkan gambar dengan perincian, warna dan tona yang lebih menyerupai keadaan sebenar.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Produk OPPO, Pete Lau berkata siri Find X mencerminkan komitmen syarikat dalam mempertingkatkan teknologi pengimejan mudah alih.
“Bersama Hasselblad, kami mengambil satu lagi langkah penting menerusi Find X10 Series untuk menghasilkan perincian, warna dan tona yang lebih semula jadi dalam fotografi harian.
“Pengguna hanya perlu membuka kamera dan merakam detik seperti yang dilihat tanpa memerlukan tetapan tambahan,” katanya dalam kenyataan.
Siri berkenaan menampilkan dua model, iaitu OPPO Find X10 dan Find X10 Pro Max, yang hadir dengan rekaan baharu dikenali sebagai Borderless Design.
Rekaan itu menggunakan teknologi One-Piece Sculpted Glass yang menggabungkan panel kaca dengan modul kamera bagi menghasilkan penampilan lebih kemas.
OPPO Find X10 ditawarkan dalam tiga pilihan warna, iaitu Glacier Blue, Glow Coral dan Mist Grey, manakala Find X10 Pro Max hadir dalam warna Titanium Grey dan Luna White.
Kamera Sehingga Tiga Sensor 200MP
Dari segi fotografi, OPPO Find X10 dilengkapi sistem dwi-kamera 200 megapiksel (MP) yang dibangunkan bersama Hasselblad.
Sementara itu, Find X10 Pro Max tampil dengan sistem tiga kamera 200MP yang merangkumi kamera ultra lebar, kamera utama dan kamera telefoto.
Kedua-dua model turut menggunakan teknologi LUMO True Image Engine yang menggabungkan pemprosesan imej dengan maklumat warna daripada kamera True Color bagi menghasilkan tona kulit, tekstur dan kontras yang lebih semula jadi.
Bagi rakaman video, ketiga-tiga kamera belakang Find X10 Pro Max menyokong rakaman 4K pada kadar 120 bingkai sesaat (fps) dan 8K pada 30fps.
Keupayaan rakaman sama turut ditawarkan pada kedua-dua kamera 200MP Find X10.
Siri itu juga memperkenalkan fungsi Open Gate Capture yang menggunakan keseluruhan kawasan sensor kamera untuk merakam imej lebih luas, sekali gus memberikan fleksibiliti kepada pengguna ketika menyunting video dalam format menegak atau melintang.
Bateri 8,000mAh, Sistem Operasi ColorOS 17
Dari segi prestasi, OPPO Find X10 menggunakan cip pemproses MediaTek Dimensity 9600M, manakala Find X10 Pro Max dilengkapi MediaTek Dimensity 9600 Pro berasaskan teknologi pemprosesan 2 nanometer (nm).
Kedua-dua model turut dilengkapi bateri OPPO Silicon-Carbon berkapasiti 8,000 miliampere-jam (mAh) yang menurut syarikat itu mampu bertahan sehingga dua hari bagi penggunaan biasa dengan sekali pengecasan.
OPPO turut memaklumkan bahawa bateri berkenaan direka untuk mengekalkan lebih 80 peratus daripada kapasiti asal selepas lima tahun penggunaan biasa, berdasarkan ujian makmal syarikat.
Bagaimanapun, kapasiti bateri mungkin berbeza mengikut pasaran, dengan sesetengah pasaran menawarkan bateri berkapasiti 7,150mAh.
Siri Find X10 juga menggunakan sistem operasi ColorOS 17 yang memperkenalkan rekaan Living Flow Design serta fungsi kecerdasan buatan (AI) dikenali sebagai AI Mind Pilot dengan Agent Mode.
Fungsi itu membolehkan AI berinteraksi dengan fail dan gambar dalam telefon bagi membantu pengguna menyelesaikan tugasan kompleks menerusi satu arahan.
Pratempahan Dibuka Hingga 29 Oktober
Dalam pada itu, OPPO memaklumkan bahawa pratempahan Find X10 Series kini dibuka sehingga 29 Oktober dengan ganjaran pelancaran bernilai sehingga RM4,771.
Pelanggan turut berpeluang menikmati rebat tukar beli tambahan sehingga RM800, selain pilihan pembayaran ansuran melalui SPayLater dan kad kredit terpilih.
Tawaran lain termasuk pakej pembelian pelan perlindungan OPPO Care, baucar aplikasi My OPPO serta keistimewaan Masterclass.
OPPO dijangka mengumumkan spesifikasi penuh, harga dan ketersediaan kedua-dua model berkenaan pada majlis pelancaran rasmi di Kuala Lumpur, 22 Oktober ini.

