Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pertubuhan Negarawati Tanahair menggesa kerajaan serta rakyat Malaysia untuk terus mempertahankan asas kenegaraan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan menolak sebarang usaha yang boleh menggugat identiti serta kestabilan negara.
Pengerusinya, Bibi Sunita S. Khan berkata, beberapa isu yang timbul sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan agama, bahasa, institusi raja dan hak Bumiputera.
Menurut beliau, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, institusi Raja-Raja Melayu serta hak Bumiputera yang diperuntukkan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak sepatutnya dijadikan bahan tawar-menawar politik.
Katanya, perkara tersebut merupakan asas utama dalam pembentukan negara bangsa Malaysia dan bukannya dasar pentadbiran yang boleh diubah mengikut kepentingan politik semasa.
“Perkara ini bukan sekadar dasar pentadbiran yang boleh diubah mengikut kehendak mana-mana parti politik, sebaliknya ia adalah tunjang kepada pembinaan negara bangsa Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Tambah beliau, pelbagai polemik yang timbul sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut mencetuskan keresahan rakyat, termasuk isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), perbahasan berkaitan ICERD dan Statut Rom, Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) serta peruntukan kepada sekolah vernakular dan rumah ibadat tertentu.
Jelasnya, perkembangan tersebut dilihat memperlihatkan kecenderungan segelintir pihak yang semakin berani mempersoalkan asas-asas kenegaraan yang telah dipersetujui sejak negara mencapai kemerdekaan.
“Malaysia dibina atas semangat muafakat, toleransi dan penghormatan terhadap sejarah negara, bukannya atas konsep asimilasi mutlak atau liberalisme tanpa batas,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan mana-mana pihak yang berada dalam kerajaan perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh tanpa memilih hanya bahagian yang selari dengan ideologi masing-masing.
Negarawati turut menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa dasar pembangunan bandar yang didakwa berpotensi meminggirkan komuniti asal selain penularan fahaman liberalisme dan pluralisme yang dianggap bercanggah dengan acuan kenegaraan Malaysia.
Sehubungan itu, beliau menyeru Kerajaan Persekutuan agar lebih tegas mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara demi memastikan asas pembentukan negara terus terpelihara.
Katanya, perpaduan nasional hanya dapat diperkukuh melalui penghormatan terhadap sejarah, identiti serta perlembagaan negara, bukannya melalui paksaan ideologi.