KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah agar sifat keberanian yang terbina bertahun-tahun tidak sama sekali digadaikan dan pendirian yang mengutamakan kebenaran tidak dilemahkan hanya kerana tawaran habuan serta imbuhan bersifat sementara.
Baginda bertitah sifat tamak dan kesilapan langkah akan mengakibatkan rakyat menjadi mangsa menanggung derita, justeru keadilan wajib ditegakkan sekalipun melibatkan kepentingan peribadi, ahli keluarga dan pihak atasan yang dianggap berkuasa.
Titah Sultan Nazrin kebenaran hendaklah dijadikan asas pendirian, manakala keberanian menjadi kekuatan untuk mempertahankannya berpandukan ilmu yang membolehkan seseorang menilai sama ada sesuatu pendirian memiliki asas kukuh atau sebaliknya.
“Keberanian tanpa ilmu boleh mengundang kesilapan. Keberanian anda hendaklah berlandaskan fakta, bukti, pertimbangan yang adil, dan kesedaran akan implikasi daripada setiap keputusan atau tindakan,” titah baginda pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke-66 di Dewan Tunku Canselor di sini, hari ini.
Turut hadir Pro-pro Canselor UM Toh Puan Dr Aishah Ong, Tan Sri Zainun Ali dan Tan Sri Mohd Annuar Zaini, serta Pengerusi Lembaga Pengarah UM Tan Sri Zarinah Anwar dan Naib Canselor UM Datuk Seri Prof Ir Dr Noor Azuan Abu Osman.
Sultan Nazrin yang juga Canselor Universiti Malaya (UM) bertitah prinsip “berani kerana benar” menuntut integriti yang tinggi ketika berdepan pertembungan kepentingan, khususnya apabila seseorang diuji dengan desakan meluluskan perkara yang meragukan atau bercanggah dengan peraturan serta undang-undang.
“Anda mungkin diminta untuk mengubah angka supaya laporan kelihatan lebih baik, atau diarah menyembunyikan kelemahan sesuatu projek, atau didesak mendiamkan salah laku dan kecuaian demi menjaga nama tertentu.
“Anda bakal menghadapi arahan daripada orang yang mempunyai kuasa, atau anda bakal menghadapi godaan dalam bentuk pujukan naik pangkat, anugerah gelaran atau imbuhan kebendaan dan kewangan,” titah baginda.
Baginda bertitah keputusan yang kelihatan kecil sebenarnya boleh membawa akibat yang amat besar kepada masyarakat dan negara.
“Sedarilah, di sebalik setiap dasar terjejas kehidupan manusia, di sebalik setiap peruntukan kewangan terdapat keperluan yang menunggu pembelaan dan di sebalik setiap kelewatan terlibat keluarga yang terus menanggung kesusahan,” titah baginda.
Sementara itu, Sultan Nazrin bertitah konvokesyen menandakan berakhirnya satu tahap pengajian serentak dengan bermulanya amanah lebih besar apabila graduan bakal diuji dalam dunia pekerjaan, kehidupan bermasyarakat serta ketika membuat keputusan yang melibatkan kepentingan orang ramai.
Baginda juga bertitah nilai sesuatu ilmu hanya akan berkembang apabila dimanfaatkan untuk menyelesaikan persoalan masyarakat dan mengenali kebenaran, membezakan fakta dengan sangkaan, menilai kesahihan hujah serta memahami akibat daripada setiap tindakan.
Baginda turut mengingatkan graduan supaya sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa, ahli keluarga, pensyarah serta pendidik yang berkorban memastikan mereka berjaya menamatkan pengajian.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga universiti atas kejayaan UM melonjak ke kedudukan ke-56 terbaik dunia dalam QS World University Rankings serta tersenarai dalam kelompok 200 terbaik Times Higher Education.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada barisan Pro-Canselor, Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Naib Canselor, warga akademik serta petugas pengurusan yang berganding bahu menggemilangkan nama UM sebagai institusi pengajian tinggi bertaraf dunia.
Sebanyak 11,842 graduan diraikan pada Istiadat Konvokesyen UM ke-66 yang berlangsung 17 sidang bermula hari ini hingga 26 Nov melibatkan 771 penerima ijazah Doktor Falsafah (PhD), 5,511 ijazah Sarjana dan Diploma Pascasiswazah Pendidikan, 4,350 ijazah Sarjana Muda serta 1,210 penerima Diploma Lanjutan, Diploma Eksekutif dan diploma.
Konvokesyen kali ini turut menyaksikan pengurniaan gelaran Profesor Emeritus kepada empat tokoh akademik iaitu Datuk Prof Dr Mohd Yakub @ Zulkifli Mohd Yusoff, Datuk Prof Dr Goh Khean Jin, Prof Dr Abrizah Abdullah dan Prof Dr Fatimah Kari.

