Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kehadiran tumbuhan pendatang atau rumpai invasif semakin menjadi kebimbangan dalam sektor pertanian.
Tumbuhan seperti ini mampu merebak dengan cepat dan menjejaskan tanaman tempatan jika tidak dikawal lebih awal.
Korang nak tahu, terdapat spesies rumpai pendatang yang berbahaya kini telah didapati berada di Malaysia.
Menurut Jabatan Pertanian Sabah, rumpai ini merupakan antara 100 tumbuhan paling invasif di dunia.
Giant mimosa atau nama saintifiknya Mimosa pigra, turut dikenali sebagai semalu gajah. Tumbuhan ini disenaraikan dalam 100 tumbuhan paling invasif di dunia.

Jangan tak tahu, tumbuhan ini juga dikategorikan sebagai tumbuhan berbahaya di bawah Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981.
Antara ciri rumpai ini termasuk boleh mencapai ketinggian antara tiga hingga enam meter, menjadikannya sukar dikawal apabila sudah matang.
Rumpai ini mempunyai bunga berbentuk bebola bulat berwarna ungu atau merah jambu.
Selain itu, tumbuhan ini juga mempunyai polong bersegmen dan berduri yang mudah melekat pada haiwan atau kenderaan. Keadaan ini membantu penyebaran benih ke kawasan baharu.
Daun rumpai ini pula terdiri daripada jenis bipinat yang sensitif, iaitu akan menguncup apabila disentuh manakala batang tumbuhan ini berkayu, mudah lentur dan mempunyai duri yang sangat tajam.
Ciri ini menjadikan tumbuhan invasif ini sukar dikendalikan secara manual tanpa peralatan yang sesuai.

Antara sebab utama giant mimosa dianggap berbahaya ialah berikutan benihnya yang boleh bertahan sehingga 15 tahun di dalam tanah. Keupayaan ini menjadikan rumpai tersebut sukar dihapuskan sepenuhnya walaupun selepas dibersihkan.
Selain itu, satu pokok ini mampu menghasilkan sehingga 220,000 biji benih setahun. Kadar pembiakan yang tinggi ini menyebabkan rumpai ini cepat merebak dan menutup kawasan tanaman lain.
Kehadiran rumpai ini juga mewujudkan persaingan nutrien dengan tanaman utama. Akibatnya, pertumbuhan tanaman boleh terganggu dan hasil tanaman berpotensi menurun.
Dalam jangka panjang, keadaan ini berpotensi meningkatkan beban kos kepada petani berikutan memerlukan usaha tambahan dalam mengawal dan menghapuskan tumbuhan invasif ini.
Terdapat beberapa kaedah kawalan yang disyorkan bagi menangani penyebaran giant mimosa.
Pertama, kaedah manual melibatkan aktiviti menebang dan mencabut keseluruhan akar tumbuhan. Langkah ini penting bagi memastikan rumpai tidak tumbuh semula.
Kedua, kaedah mekanikal yang menggunakan jentolak bagi membongkar akar di dalam tanah. Pendekatan ini sesuai bagi kawasan yang mempunyai pertumbuhan rumpai yang padat.
Selain itu, kaedah ketiga, iaitu secara kimia turut digunakan melalui semburan racun rumpai yang disyorkan mengikut label produk.
Strategi kawalan bersepadu yang menggabungkan kaedah mekanikal dan kimia dianggap paling berkesan kerana benih yang tertimbus dalam tanah sukar dimusnahkan sepenuhnya.
Sekiranya korang ada terjumpa rumpai ni, segera laporkan kepada pejabat jabatan pertanian terdekat.
Kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu usaha pengawalan dan mencegah penyebaran rumpai invasif ini ke kawasan baharu.
Langkah melaporkan penemuan awal dapat membantu pihak berkuasa mengambil tindakan dengan lebih cepat.
Usaha bersama antara masyarakat dan pihak berkuasa diharapkan mampu melindungi tanaman serta memastikan kelestarian sektor pertanian terus terjamin.