Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Muhammad Faris Dilantik Sebagai Undang Luak Sungei Ujong Ke-11

Sofea
Undang Luak Sungei Ujong
Kredit: Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong

Muhammad Faris Dilantik Sebagai Undang Luak Sungei Ujong Ke-11

Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Waris-Waris Klana Hulu telah bersetuju untuk melantik Muhammad Faris Johari, 29, sebagai Dato' Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-11.

Menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di Facebook Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong, pelantikan itu dijalankan dalam istiadat kerapatan di Telaga Undang.

"Istiadat dijalankan di bawah undang-undang teradat iaitu berkeadilan, berundang, bersalasilah, berteromba pada 22 April 2026.

"Ia diperkukuh Ibu Soko Klana Hilir dan Waris Klana Hilir serta disaksikan oleh Ibu Soko Waris Negeri, Waris Negeri, Dato' Lembaga Lingkungan, To' Buapak Lingkungan dan pegawai kerajaan," katanya.

Ujar kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Selasa, pemilihan itu dikatakan mengikut salasilah pada Fasal ke-27 Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910.

"Hukum adat patah tumbuh termaktub pada Fasal 5 Undang-Undang Sungei Ujong," katanya lagi.

Pelantikan itu disahkan oleh Dato' Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim Tua Lembaga Waris di-Darat yang sah dan diiktiraf Kerajaan Negeri Sembilan.

"Aturan adat menjadikan pelantikan Dato' Klana Petra dibuat tanpa campur tangan pihak luar, selaras Fasal 14 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959," ujar kenyataan itu.

Dilahirkan pada 30 Oktober 1997, Muhammad Faris merupakan anak kedua kepada pasangan Johari Meor Ngah dan Ibu Soko Klana Hulu Shazlina Dato' Sinda Maharaja Haji Abd Karim.

"Muhammad Faris ialah Waris Klana Hulu berketurunan langsung Dato' Klana Petra Bador ibni Dato' Penghulu Menteri Chantek, Undang Luak Sungei Ujong pertama mengikut nasab ibu.

"Beliau juga piut Dato' Klana Petra Ma'amor Dato' Menteri Kassim Undang Luak Sungei Ujong ke-8 dan Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman Abdullah Panglima Muda Luk Undang Luak Jelebu ke-12 (lebih dikenali Lion of Jelebu atau Singa Jelebu)," jelas kenyataan itu.

Selain itu, Muhammad Faris menuntut di Maktab Rendah Sains MARA Beseri, Perlis sebelum memperoleh sarjana muda perakaunan di Universiti Teknologi MARA.

Beliau juga memperoleh kelayakan profesional menerusi program Association of Certified Chartered Accountants (ACCA) pada 2022.

Muhammad Faris kini akauntan di Marsh, firma insurans dan perundingan risiko bertaraf multinasional yang beroperasi di lebih 130 negara di seluruh dunia.

Beliau bernikah dengan Sharifah Amirah Ir Syed Ismail Ash-Shahab (keturunan tokoh Perang Saudara Klang Syed Mashhor Syed Muhammad Ash-Shahab) pada 20 April 2024.