Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

HPUSM Kembali Diterangi Lampu Hijau, "Walk Of Honour" Untuk Muhammad Aidil Undang Sebak

HPUSM
Kredit: @nerisa_nely & Facebook Abdullah Shairey Zulkepli

Setelah sekian lama, bangunan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) kembali diterangi cahaya lampu hijau yang membawa makna tersendiri buat warga hospital dan orang ramai.

Iklan

Kali terakhir inisiatif itu dilaksanakan adalah pada 2019 sebagai simbol penghormatan sempena proses pendermaan organ (organ donation).

Lelaki 23 tahun disahkan mengalami kematian otak

Menerusi kenyataan media, HPUSM memaklumkan bahawa pencahayaan lampu hijau itu diadakan pada malam 19 November sebagai tanda penghargaan kepada seorang penderma organ berusia 23 tahun yang dimasukkan ke HPUSM akibat kecederaan otak yang serius susulan terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Selepas disahkan mengalami kematian otak (brain death) oleh Pakar Anestesiologi dan Pakar Neurisurgeri mengikut protokol perubatan yang ditetapkan dan persetujuan penuh diperoleh daripada pihak keluarga, proses pembedahan pendermaan organ dimulakan pada tengah malam semalam.

Operasi klinikal dan penyelarasan pendermaan organ itu turut dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara pasukan pakar perubatan HPUSM dengan Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Pusat Transplan Nasional (National Transplant Centre - NTC).

Dalam pada itu, pihak pengurusan dan seluruh warga kerja HPUSM turut merakamkan ucapan takziah serta penghargaan kepada keluarga Allahyarham atas keikhlasan dan keberanian mereka membuat keputusan yang cukup bermakna.

Pengorbanan tersebut diharapkan dapat memberikan harapan dan peluang kehidupan baharu kepada pesakit yang sedang menantikan pemindahan organ di seluruh negara.

Warga hospital adakan Walk Of Honour buat Allahyarham

Selain pencahayaan lampu hijau, satu lagi momen menyentuh perasaan turut dikongsikan menerusi media sosial apabila warga hospital dilihat berbaris sepanjang laluan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Facebook Abdullah Shairey Zulkepli

Menerusi perkongsian Abdullah Shairey Zulkepli di Facebook, suasana tersebut dikenali sebagai “Walk of Honour” untuk Muhammad Aidil, dengan kehadiran warga hospital yang tampil memberikan penghormatan.

Perkongsian tersebut turut memaparkan suasana koridor hospital yang dipenuhi petugas perubatan dan kakitangan lain yang berdiri di kiri dan kanan laluan ketika penghormatan diberikan.

Netizen turut berkongsi rasa sebak

Pencahayaan lampu hijau di HPUSM itu turut mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-rata meluahkan rasa sebak dan terharu melihat penghormatan diberikan kepada Allahyarham Muhammad Aidil.

Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna, @qusbixsydina meluahkan rasa sedih ketika melalui kawasan hospital berkenaan pada malam tersebut.

“Sangat sayu dan sedih bila lalu di depan HUSM malam ini,” tulisnya.

Sementara itu, pengguna @m.shxkhmin_ turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Allahyarham atas sumbangan yang diberikan selain menitipkan doa buatnya.

“Terima kasih kepada si penderma. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas sumbanganmu. Moga syurga buatmu nak,” ujarnya.

Pengguna @nerisa_nely turut merakamkan penghargaan buat Allahyarham dan berharap agar segala kebaikan yang dilakukan menjadi bekalan di akhirat kelak.

“Penghormatan buat seorang penderma organ bernama Muhammad Aidil. Malam ini, perkarangan HPUSM dilimpahi cahaya lampu hijau sebagai tanda penghargaan. Semoga setiap kebaikan ini menjadi pahala yang berpanjangan dan bekalan beliau di akhirat,” katanya.

Malah, pengguna @htmkmrlzmn89 turut berkongsi bahawa pencahayaan lampu hijau pintu masuk HPUSM itu merupakan kali pertama sejak kali terakhir dilaksanakan pada 2019.

“Buat julung kalinya sejak kali terakhir pada 2019, perkarangan pintu masuk HPUSM dilimpahi lampu hijau menandakan ada pembedahan organ donation,” jelasnya.

Pengorbanan Allahyarham Muhammad Aidil bukan sahaja memberikan peluang kehidupan baharu kepada pesakit yang memerlukan, malah meninggalkan satu pengajaran besar tentang nilai keikhlasan dan kasih sayang sesama insan.

Semoga segala kebaikan yang disumbangkan menjadi amal jariah buat Allahyarham, manakala keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.

Intipati
  • HPUSM menyalakan lampu hijau sebagai penghargaan kepada penderma organ berusia 23 tahun.
  • Pendermaan organ dimulakan selepas kematian otak disahkan dan keluarga memberikan persetujuan penuh.
  • Warga hospital mengadakan Walk of Honour, sementara netizen menzahirkan rasa sebak dan penghargaan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan