Setiap insan pastinya mengharap doa yang baik-baik, bukan sahaja untuk diri sendiri, malah buat ibu bapa, ahli keluarga dan orang sekeliling.
Lebih menyentuh hati apabila ada yang tidak lokek menitipkan doa buat orang lain meskipun mereka tidak saling mengenali.
Menerusi perkongsian di Threads, Ammar Zulkha atau lebih dikenali sebagai Budak 46, dilihat menitipkan doa buat semua yang menonton videonya semasa dia berada di hadapan Kaabah.
“Ya Allah, kepada mana yang melihat video ini Ya Allah. Kau ampunilah dosa mereka Ya Allah. Kau ampunilah dosa ibu dan ayah mereka Ya Allah, ampunkanlah dosa adik-beradik mereka Ya Allah.
“Ya Allah Ya Tuhanku, Kau murahkanlah rezeki mereka Ya Allah. Kau murahkanlah rezeki ibu dan ayah mereka. Kau murahkanlah rezeki adik-beradik mereka Ya Allah,” katanya.
Bukan itu sahaja, dia turut mendoakan agar setiap keluarga dikurniakan kebahagiaan di dunia dan akhirat, dipermudahkan urusan jodoh bagi mereka yang sedang mencari, serta dikurniakan zuriat yang baik buat yang menginginkannya.
Selain itu, Ammar turut memohon agar pasangan suami isteri diberikan kebahagiaan dan hubungan rumah tangga yang berkekalan hingga ke syurga.
Malah, dia tidak lupa menitipkan doa agar semua yang menonton diberikan keampunan, dijauhkan daripada azab kubur serta api neraka dan sentiasa berada dekat dengan Allah SWT.
Budak 46 tidak lupa hargai individu yang membantunya ke Tanah Suci
Apa yang lebih menyentuh hati, Ammar turut mengakui peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci itu hadir dengan izin Allah SWT serta sokongan orang ramai yang mengikuti kisah kehidupannya.
“Ya Allah, seperti mana Kau hadirkan aku datang ke tanah suci ini, Kau hadirkanlah juga orang yang melihat video ini untuk datang ke tanah suci ini Ya Allah.
“Ya Allah, Kau permudahkanlah urusan mereka Ya Allah kerana merekalah aku dapat ke sini dengan izin-Mu. Kerana mereka melihat video yang tular tentang sakitku, kerana itulah aku dapat datang ke sini Ya Allah,” ujarnya.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan sejak dahulu, selain memohon agar mereka dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa dimurahkan rezeki.
Dalam kesempatan itu, Ammar juga menyatakan bahawa dia sudah memaafkan individu yang mungkin pernah melakukan kesalahan terhadap dirinya serta berharap agar Allah SWT turut mengampunkan dosa mereka.
Impian menunaikan umrah tercapai
Untuk rekod, Ammar Zulkha, 30, menghidap retinitis pigmentosa, iaitu sejenis penyakit yang menjejaskan penglihatannya.
Keadaannya itu mendapat perhatian ramai termasuk ikhlas.com yang telah menaja Ammar dan keluarganya ke Tanah Suci.

Pada awalnya, Ammar menyangka kunjungan tersebut adalah untuk membuat ulasan set bagasi ikhlas.com bagi kandungan TikTok miliknya.
Namun, di sebalik kolaborasi itu tersimpan berita yang jauh lebih bermakna apabila ikhlas.com menghadiahkan pakej Umrah Premium Musim Sejuk kepada Ammar bagi perjalanan yang dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 15 November 2026.
Lebih istimewa, ikhlas.com turut menjemput bapanya, Helmy Salleh, untuk bersama-sama menunaikan umrah.

Menurut Ustaz M. Iqbal Hanif Mohamed Rusdi, Ketua Mutawif dan Penasihat Shariah ikhlas.com, kehadiran bapanya di sisi Ammar diharapkan dapat memberikan lebih keselesaan dan ketenangan sepanjang perjalanan di Tanah Suci.
Bagi Ammar, peluang tersebut amat bermakna kerana dia menyimpan hasrat untuk melihat Kaabah sementara penglihatannya masih baik.
“Impian saya memang untuk menunaikan Umrah dan melihat Kaabah sementara saya masih mempunyai penglihatan. Walaupun suatu hari nanti saya kehilangan penglihatan, saya akan sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan,” ujarnya.

