Kerajaan dicadangkan supaya memberi peluang kepada semua banduan menjalani separuh daripada tempoh hukuman di penjara, manakala baki hukuman dilaksanakan menerusi tahanan di rumah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, cadangan itu bertujuan mewujudkan mekanisme perundangan yang adil, telus dan terpakai secara sama rata kepada semua banduan.
Menurutnya, usaha memperjuangkan mekanisme berkenaan perlu digerakkan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan setiap banduan mendapat layanan saksama tanpa mengira kedudukan, pangkat, pengaruh politik atau latar belakang.
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu turut menyatakan kesediaan menyerahkan keseluruhan gajinya sebagai menteri berjumlah RM11,900 sehingga pembubaran Parlimen penggal ini bagi membantu membiayai usaha NGO yang bersedia memperjuangkan cadangan tersebut.
Katanya, beliau berharap NGO tampil menggerakkan usaha bagi mewujudkan peruntukan perundangan yang membolehkan banduan menjalani separuh tempoh hukuman di penjara dan baki tempoh secara tahanan di rumah.
“Ini untuk semua banduan berasaskan peraturan yang adil, telus dan terpakai secara saksama.
“Sebagai tanda komitmen terhadap perjuangan ini, saya akan menyerahkan sepenuhnya gaji saya berjumlah RM11,900 sebagai menteri sehingga pembubaran Parlimen penggal ini bagi membantu membiayai usaha NGO berkenaan yang akan menggerakkan perjuangan terbabit,” katanya menerusi sidang media yang disiarkan di Facebook semalam.
Cadangan itu dikemukakan sehari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan Perintah Pelepasan Atas Pembayaran Denda pada 6 Oktober lalu dan menggantikannya dengan perintah supaya Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd secara tahanan di rumah.
Perintah berkenaan membolehkan Najib menjalani baki hukuman di kediamannya di Langgak Duta berkuat kuasa serta-merta, selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.
Najib dijadual menjalani tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos tahun sama bagi menjalani hukuman berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam pada itu, Mohamad turut menyeru NGO termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Majlis Peguam, Persatuan Peguam Syarie serta pertubuhan masyarakat sivil supaya tampil memperjuangkan prinsip kesaksamaan hak setiap warganegara seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, sebarang mekanisme tahanan di rumah tidak seharusnya memberikan keistimewaan kepada individu tertentu, sebaliknya perlu dilaksanakan berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang.
Beliau turut menegaskan bahawa pendirian tersebut bukan disebabkan sebarang pertikaian peribadi dengan Najib mahupun anggota keluarganya.
“Saya tidak mempunyai sebarang masalah atau pertikaian peribadi dengan Datuk Seri Najib Razak mahupun anggota keluarganya, tetapi saya ingin menegaskan bahawa keadilan dalam negara ini mesti ditegakkan secara saksama tanpa mengira kedudukan, pangkat, pengaruh politik mahupun latar belakang seseorang,” katanya.
Mohamad turut mengaitkan cadangan itu dengan prinsip keadilan dalam Islam yang menegaskan bahawa tiada individu boleh dikecualikan daripada pelaksanaan undang-undang hanya kerana kedudukan atau hubungan kekeluargaan.
Menurutnya, prinsip Rukun Negara khususnya Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang Undang perlu terus menjadi asas dalam memastikan keadilan dilaksanakan tanpa diskriminasi.
“Undang-undang mesti adil kepada semua, Perlembagaan mesti dipertahankan untuk semua, keadilan tidak boleh menjadi hak eksklusif golongan tertentu.
“Inilah asas perjuangan kita demi memelihara Perlembagaan Persekutuan, memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi negara dan menjamin keharmonian Malaysia,” katanya.

