Bagi sesetengah orang, mengejutkan rakan yang terlalu lena tidur bukanlah satu tugas mudah, apatah lagi apabila pelbagai cara sudah dicuba tetapi masih tidak berjaya.
Situasi itu mencuri perhatian pengguna media sosial apabila sekumpulan lelaki dilihat menggunakan pendekatan luar biasa untuk mengejutkan rakan mereka yang dipercayai sedang tidur nyenyak di dalam bilik.
Menerusi video yang dikongsikan pengguna Threads, @dek_4lif, beberapa lelaki dilihat bersungguh-sungguh mencari jalan untuk mengejutkan rakan mereka dari luar tingkap bilik.
Malah, seorang daripada mereka dilihat memegang objek panjang berhampiran tingkap, manakala topi keledar turut digunakan dalam usaha mengejutkan individu berkenaan.

Pemilik video turut berseloroh mengenai situasi tersebut yang seolah-olah memerlukan pelbagai ikhtiar untuk memastikan rakannya terjaga.
“Macam mana nak kejut kawan yang tidur terlalu lena ini?” tulisnya.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi lucu daripada netizen yang rata-ratanya terhibur melihat usaha mereka, selain berkongsi pengalaman masing-masing berdepan situasi sama.
Menjengah ke ruangan komen, antara reaksi pengguna Threads:
“Nasib baik topi keledar itu tepat mengenai sasaran,” kata diecastprince.
“Kalau berlaku gempa bumi, memang tidak sempat diselamatkan,” kata liyahhh.n secara berseloroh.
“Saya pernah buat begini untuk mengejutkan kawan pergi kelas mengaji dahulu. Saya buka tingkap biliknya dan jolok menggunakan penyapu. Susah betul dia hendak bangun,” kongsi strawberry_septemberrr.
“Boleh sertai kumpulan kawan saya. Kami ketuk pintu macam hendak merobohkannya, tetapi dia buat tidak tahu sahaja. Hampir sejam juga kami cuba mengejutkannya sampai berpeluh,” kongsi ayuunatashaaa.

