Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

MISC Anjur Pameran “Chart Her Course 2026” Di Bangunan Sultan Abdul Samad
Kumpulan MISC menganjurkan pameran CHART HER COURSE: 2026 di Bangunan Sultan Abdul Samad bermula hari ini hingga 25 Mei, bagi memperkenalkan dunia maritim sebagai sektor kerjaya masa depan yang berimpak tinggi.
Pameran itu diadakan bersempena Hari Antarabangsa Wanita dalam Maritim dengan Bangunan Sultan Abdul Samad bertindak sebagai rakan lokasi dan tuan rumah kepada pameran nasional berkenaan.
Menerusi pameran tersebut, pengunjung dibawa menyelami peranan industri maritim yang menjadi nadi penting kepada perdagangan global, termasuk pengangkutan tenaga, barangan keperluan dan kargo merentasi lautan dunia.
Menurut MISC, kira-kira 80 peratus perdagangan global bergerak melalui laut. Aktiviti itu melibatkan perdagangan bernilai lebih USD35 trilion pada 2025, selain lebih 12.7 bilion tan kargo dipindahkan melalui laluan laut pada tahun yang sama.
Pameran itu turut menampilkan pendekatan pengalaman deria, antaranya menerusi pemasangan “Fabric Wave”, terowong karang bercermin serta simulator “Command Centre” yang membolehkan pengunjung merasai pengalaman mengemudi kapal melalui pelabuhan dan lautan maya.
Selain memperkenalkan aspek teknologi, logistik dan operasi maritim, pameran itu turut mengetengahkan peluang kerjaya dalam sektor berkenaan, khususnya ketika industri itu berdepan kekurangan bakat global.
Berdasarkan laporan BIMCO/ICS Seafarer Workforce Report 2021, kekurangan 89,000 pegawai maritim dijangka berlaku menjelang 2026, sekali gus membuka ruang kepada generasi muda Malaysia untuk menceburi kerjaya bernilai tinggi di peringkat antarabangsa.
MISC turut menekankan bahawa sektor maritim kini bergerak ke arah agenda penyahkarbonan dan “Gelombang Hijau”, dengan empat juta pekerjaan hijau baharu dijangka diwujudkan menjelang 2050.
Inisiatif itu juga mencerminkan komitmen MISC terhadap pembangunan bakat menerusi Akademi Laut Malaysia (ALAM), yang sebelum ini berjaya melahirkan pelopor industri termasuk kapten wanita pertama Malaysia.
Ketika ini, penyertaan kadet wanita di ALAM berada pada kadar 11.15 peratus, melepasi purata global pelaut wanita yang dianggarkan sekitar satu hingga dua peratus.