KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Sasterawan Negara Datuk Seri Dr A. Samad Said meninggalkan legasi besar dalam dunia kesusasteraan tanah air menerusi naskhah bermutu tinggi yang merakam pelbagai sisi kehidupan masyarakat.
Figura berambut dan berjanggut putih yang lebih mesra disapa Pak Samad itu dilahirkan pada 9 April 1935 di Durian Tunggal, Melaka, serta mula aktif berkarya sejak 1950-an sebelum mengukuhkan kedudukannya sebagai antara tokoh penting dalam kesusasteraan Melayu moden.
Kekuatan beliau lebih terserlah menerusi penulisan novel, selain turut menghasilkan puisi, cerpen, drama, esei dan kritikan sastera.
Menurut biografi penulis di laman web Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), novel pertama Pak Samad yang berjudul Gerhana memenangi hadiah penghargaan peraduan novel DBP 1958 sebelum ia ditukarkan dengan judul Salina dan diterbitkan pada 1961.
Karya itu disifatkan sebagai bertaraf antarabangsa oleh sesetengah sarjana termasuk Prof A. Teeuw, seorang ahli linguistik terkemuka yang mengkaji kesusasteraan Melayu, Indonesia dan Jawa kuno.
Karya Sungai Mengalir Lesu pula menampilkan pengalaman langsung beliau dalam masyarakat yang menderita akibat perang.
Antara novel lain Allahyarham ialah Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri, Di Hadapan Pulau, Adik Datang, Langit Petang dan Cinta Fansuri.
A Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said turut memperlihatkan keistimewaan dalam penghasilan puisi menerusi kumpulan Liar di Api, selain antara penulis terawal yang bereksperimen dengan bentuk sajak bebas.
Pengiktirafan terhadap sumbangan dan ketokohan beliau dalam bidang kesusasteraan dizahirkan menerusi pelbagai anugerah antaranya Anugerah Pejuang Sastera pada 1976, S.E.A. Write Award di Bangkok (1979) dan Anugerah Sastera Negara (1985) yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail.
Beliau turut menerima Anugerah ASEAN dalam Kategori Sastera daripada Brunei pada 1993 serta Anugerah Sasterawan Nusantara pada 1999.
A. Samad Said turut dikurniakan Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk pada 1997 dan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri daripada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang membawa gelaran Dato' Seri pada 2017.
Pada 16 Okt 2003, beliau menerima Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Kesusasteraan daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam bidang berkenaan.
Mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura sebelum melanjutkan pelajaran di Victoria Institution sehingga memperoleh Sijil Senior Cambridge, beliau pernah berkhidmat sebagai kerani di Hospital Umum Singapura sebelum menceburi bidang kewartawanan dengan beberapa penerbitan, termasuk Fikiran Rakyat, Utusan Zaman dan Berita Harian.
Beliau pernah bekerja di bawah Ahmad Boestamam dan Datuk Dr Usman Awang.
Allahyarham juga pernah memegang jawatan Ketua Pengarang Warta Teberau pada 1981 serta Ketua Pengembangan Sastera dalam kumpulan akhbar The New Straits Times di Kuala Lumpur.
A Samad Said menghembuskan nafas terakhir pada 6.10 petang tadi selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat sakit tua selain turut menghidap diabetes.

