Tengah bulan haritu, happening betul tengok golongan muda kehulu-kehilir pakai baju tradisional. Semuanya segak bergaya dengan bersongket, baju kurung dan kebaya, siap bergambar setiap sudut macam photoshoot majalah.
Fenomena ni sebenarnya bukti yang pakaian warisan Malaysia still relevan dengan Gen-Z, walaupun dah banyak pilihan fesyen moden lain kat luar sana.
Lepas tu rupa-rupanya, ramai antara mereka sambung dress up pergi Malaysia International Craft Fair (MICF) 2026.
Karnival kraf yang berlangsung dari 24 September hingga 5 Oktober 2026 ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, dari golongan muda sampailah ke keluarga yang datang beramai-ramai.
Baju Tradisional Bukan Sekadar Untuk Raya
Dulu ramai anggap pakaian tradisional cuma sesuai untuk hari raya atau majlis kahwin je. Lepas habis musim perayaan, baju-baju tu pun kembali tersimpan kemas dalam almari, tunggu kenduri takpun raya tahun depan baru keluar semula.
Tapi sekarang trend tu dah berubah. Ramai anak muda suka pakai baju kurung atau baju Melayu sebagai outfit harian, ada yang saja-saja pakai pergi pasaraya & jalan-jalan dengan family juga.
Media sosial pun banyak main peranan dalam perubahan ni. Ramai content creator dah share cara nak padankan pakaian tradisional dengan gaya moden.
Ada yang ubah cutting, tambah aksesori dan ada jugak yang gabungkan dengan item streetwear, buatkan ia nampak lagi stylish dan tak kekok untuk dipakai zaman sekarang.
Bila dah ramai yang buat macam ni, lama-kelamaan ia jadi satu pergerakan kecil dalam kalangan Gen-Z sendiri.
Ia bukan sekadar ikut-ikutan lagia, tapi lebih kepada rasa bangga nak tunjuk identiti budaya sendiri.
MICF 2026 Sambung Semangat Tu Dalam Skala Lagi Besar
Kalau korang rasa vibe pakaian tradisional ni best, MICF 2026 turut bawa pengisian yang related macam pertandingan reka Baju Kurung & Kebaya, Ratu Kebaya Pageant dan Pertandingan Koir, tiga acara yang jadi antara tumpuan utama sepanjang karnival berlangsung.

Ni bukan pertandingan biasa, tapi ni jadi macam platform untuk golongan muda (dan sesiapa je yang berminat) untuk tunjuk bakat dan kreativiti dalam pakaian tradisional.
Sekali gus bagi ruang kepada mereka untuk eksperimen dengan rekaan yang lebih berani tanpa tinggalkan unsur asal.
Pengunjung yang datang pun boleh saksikan sendiri macam mana pakaian warisan ni terus berkembang dan diberi sentuhan baru mengikut citarasa generasi sekarang.
Sambutan Yang Agak Membanggakan
Yang menariknya, karnival kali ini bukan sekadar menghimpunkan hasil kraf tempatan, malah turut membawa penyertaan dari lebih 20 negara luar, satu usaha yang dilihat berjaya mencuri perhatian ramai pengunjung dari pelbagai latar belakang.
Seorang pengunjung, Amani, 29, yang datang bersama rakan-rakan berkata dia sendiri tak sangka acara sebegini turut mendapat sambutan meriah dalam kalangan belia.
“Saya datang sebab nampak kawan-kawan lain share kat Instagram. Memang best sebab boleh tengok macam-macam hasil kraf, dari tempatan sampai luar negara, dalam satu tempat je,” katanya.
“Paling tak expect, saya sendiri dapat tengok dan pegang sendiri kraftangan hasil dari luar negara, bukan senang nak dapat pengalaman macam tu. Harapnya event akan datang akan ada banyak negara lagi yang kita boleh explore,” tambah Afini.


Selain tu, kehadiran hasil kraf antarabangsa turut membuka ruang kepada pengunjung untuk mendedahkan diri kepada kepelbagaian budaya dan kemahiran dari negara lain, sesuatu yang jarang ditemui dalam karnival kraf tempatan sebelum ini.
Bukan Sekadar Fesyen, Ada Proses Kraf Di Sebalik Semua Ni
Selain tengok pertandingan fesyen, pengunjung MICF pun berpeluang tengok sendiri live show proses buat kristal, tembikar, wau dan macam-macam lagi.
Ianya satu pengalaman yang jarang dapat dirasai dalam kehidupan seharian yang serba digital sekarang.
Ni dapat buktikan yang kraf tradisional bukan sekadar produk siap yang kita nampak dijual kat kedai je, tapi ada kemahiran dan proses yang panjang di sebaliknya, daripada pemilihan bahan mentah, teknik yang diwarisi turun-temurun, sehinggalah ke peringkat akhir sebelum ia sampai ke tangan pembeli.



Pendedahan macam ini sebenarnya penting terutamanya untuk generasi muda yang mungkin tidak pernah tengok sendiri proses pembuatan kraf secara langsung, apatah lagi untuk betul-betul menghargai nilai di sebalik setiap hasil kraf tersebut.
Harapan Untuk Masa Depan
Dengan sambutan yang diterima tahun ini, ramai berharap karnival macam MICF boleh dianjurkan lebih kerap pada masa akan datang, bukan sekadar acara tahunan.
Dari segi penyertaan antarabangsa pula, ada harapan supaya lebih banyak negara dapat disertakan pada edisi akan datang, ini untuk pengunjung dapat pendedahan yang lebih luas terhadap kepelbagaian kraf dunia.
Kalau trend macam ni dapat diteruskan, bukan mustahil minat golongan muda terhadap pakaian dan kraf tradisional akan terus berkembang dari semasa ke semasa.

Untuk maklumat, karnival ini berlangsung di KL Craft Complex pada 24 September hingga 5 Oktober 2026, dengan kemasukan percuma kepada seluruh pengunjung. Maklumat lanjut boleh layari https://micf.com.my/.
