Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

"Tak sabar nak masuk, macam hotel..." Guru Ubah Ruang Belajar Sekolah Raih Perhatian Ramai
Bergelar seorang guru bukan sekadar masuk kelas dan mengajar mengikut silibus namun satu amanah yang digalas dipundak dalam mendidik anak bangsa.
Di sebalik senyuman dan kejayaan diraih murid, ada sisi pengorbanan guru yang mungkin tidak semua ramai melihatnya.
Ada guru yang sanggup menggunakan tenaga, masa malah wang sendiri demi memastikan anak-anak murid mendapat suasana pembelajaran yang lebih selesa dan menyeronokkan.
Bukan kerana mahu dipuji, tetapi kerana mereka percaya setiap murid berhak merasai pengalaman belajar yang terbaik.
Bila melihat murid datang ke sekolah dengan gembira, semangat untuk terus memberi itu hadir dengan sendiri.
Walaupun penat dan penuh cabaran, itulah antara momen kecil yang membuatkan seorang guru terus kuat bertahan dalam dunia pendidikan.
Itulah antara momen paling bermakna yang dikongsikan oleh seorang guru menerusi akaun Threads miliknya, @mr_alicakes, apabila usaha dan pengorbanannya selama empat tahun akhirnya membuahkan hasil.
Menerusi perkongsian tersebut, dia berkongsi perjalanan membangunkan sebuah bilik Bahasa Inggeris sekolah rendah yang pada asalnya penuh dengan pelbagai kekurangan dan cabaran.
Menurutnya, empat tahun lalu dia diberikan sebuah bilik jenis Roller Shutter Door untuk dijadikan bilik Bahasa Inggeris.

Keadaan bilik tersebut bukan sahaja sering dimasuki burung, malah tikar getah di dalam kelas juga perlu ditukar hampir setiap tahun.
“Kerusi dan meja pula guna yang murah-murah, jadi memang cepat rosak sebab murid datang daripada pelbagai latar dan perangai,” katanya.
Namun, segala cabaran itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencipta suasana pembelajaran yang lebih selesa buat murid-murid.
Sedikit demi sedikit, dia mula menaik taraf bilik tersebut dengan penuh kasih sayang.
Bermula dengan menukar lantai kepada SPC flooring demi keselesaan murid, sehinggalah menyediakan pakaian, seluar dan alat tulis untuk pelajar yang memerlukan.


“Macam-macam saya cuba lakukan untuk tarik minat mereka datang belajar,” ujarnya lagi.
Usahanya ternyata tidak sia-sia apabila bilik Bahasa Inggeris itu kini menjadi antara tempat paling digemari murid-murid di sekolah.
Malah, ada dalam kalangan mereka yang sanggup datang lebih awal ketika waktu rehat semata-mata kerana tidak sabar untuk masuk ke kelas tersebut.
“Kadang-kadang murid siap naik awal waktu rehat sebab tak sabar nak masuk bilik Bahasa Inggeris macam hotel," katanya.


Perkongsian itu turut menyentuh hati ramai apabila beliau mengakui setiap pekerjaan pasti mempunyai cabaran tersendiri, namun semuanya bergantung kepada bagaimana seseorang memilih untuk menghadapinya.
“Saya cuba ubah cabaran itu menjadi latihan untuk diri sendiri supaya dapat menjadi guru yang lebih baik buat anak-anak murid saya,” katanya.
Di dalam kelas tersebut juga, terdapat ruang yang membolehkan murid duduk di mana-mana pilihan mereka.
Sebelah ruang dilengkapi meja dan kerusi, manakala sebelah lagi membolehkan murid duduk lebih santai mengikut keselesaan masing-masing.


Keseluruhan bilik pula dihias dengan warna cerah dan putih yang menenangkan suasana pembelajaran.
Dia turut menekankan bahawa suasana yang cantik sahaja tidak mencukupi tanpa disiplin. sebaliknya turut menerapkan nilai disiplin pada murid-murid untuk menjaga kebersihan dan harta benda dengan baik.
Hasilnya, kelas sentiasa berada dalam keadaan bersih dan teratur.
“Anak murid saya rajin semuanya, Alhamdulillah,” tambahnya.
Menjawab persoalan mengenai kemungkinan beliau berpindah pada masa hadapan, beliau menjelaskan bahawa beliau tidak akan membawa sebarang item dari bilik tersebut.
Segala kemudahan akan ditinggalkan untuk kegunaan guru dan murid seterusnya.
Namun, beliau berharap agar dapat terus kekal mengajar di sekolah tersebut untuk beberapa tahun lagi.
Di akhir perkongsian, beliau turut mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik di Malaysia atas segala pengorbanan dan jasa yang dicurahkan demi anak bangsa.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan rasa kagum terhadap usaha guru tersebut serta menjadikannya sebagai contoh dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan selesa.
“Masya-Allah, seronoknya tengok. Bukan sahaja murid, ibu bapa pun rasa nak duduk belajar di sini,” komen seorang warga maya.
“Guru seperti inilah yang wajar diraikan, ikhlas mengajar demi masa depan pelajar,” tulis seorang lagi pengguna.
“Masya-Allah, semoga cikgu terus menjadi guru contoh yang sangat berharga dalam kalangan pendidik. Bertuah anak-anak murid cikgu,” ujar seorang lagi netizen.