Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Melaka Negeri Pertama Perkenal Kod QR Pada Haiwan Ternakan
Melaka kini melakar sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang mewajibkan pelaksanaan sistem identiti digital untuk haiwan ternakan, khususnya bagi haiwan seperti lembu dan kerbau.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu melibatkan pemasangan tag telinga berkod respons pantas (QR) pada setiap lembu dan kerbau ternakan di negeri di bawah inisiatif “QR Tagging Haiwan Ternakan Negeri Melaka”.
Langkah ini bagi memudahkan pemantauan serta pengurusan data secara lebih sistematik dan moden.
Menurut beliau, teknologi tersebut membolehkan pelbagai maklumat penting seperti identiti pemilik, lokasi ternakan, rekod kesihatan serta pergerakan haiwan diakses dengan lebih cepat dan tepat oleh pihak berkuasa.
“Melalui inisiatif ini, tagging ini bersifat berkualiti tinggi dan tidak mudah hilang kerana direka untuk tahan lama serta berfungsi sebagai identiti digital kekal kepada setiap haiwan ternakan.
Tagging ini juga membantu mengawal isu penyeludupan, di samping membolehkan jumlah serta status haiwan ternakan dikenal pasti bagi memastikan keterjaminan makanan di negeri Melaka,” katanya.
Ab Rauf turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri menyediakan inisiatif pemasangan percuma kepada penternak sehingga hujung tahun ini, dengan semua penternak boleh hadir ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi mendapatkan QR tagging tersebut.
“Kerajaan negeri membuka peluang kepada semua penternak untuk hadir mendapatkan pemasangan secara percuma sehingga hujung tahun ini dengan kerjasama Jabatan Veterinar,” katanya.
Namun begitu, beliau berkata selepas tempoh tersebut, pemasangan QR tagging akan dikenakan kos sebanyak RM5 bagi setiap haiwan bermula tahun 2027.
Selain itu, inisiatif tersebut turut dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh sistem pengurusan ternakan negeri, mengurangkan risiko haiwan berkeliaran di jalan raya serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Sebelum ini, Melaka merekodkan lebih 50 aduan dan 835 kes kemalangan berkaitan haiwan ternakan berkeliaran sejak tahun 2023, sekali gus menunjukkan keperluan kepada sistem pemantauan yang lebih efisien dan berasaskan teknologi.
Inisiatif itu dijangka menjadi model baharu pengurusan ternakan berasaskan teknologi digital di peringkat negeri, selaras dengan usaha memperkukuh transformasi digital sektor pertanian dan penternakan negara.