Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Majlis Daerah Marang (MDM) tampil memberikan penjelasan berhubung status penyewaan sebuah premis di Kompleks Telaga Mengkudu kepada sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mengendalikan pusat pendidikan bagi komuniti pelarian berdaftar di bawah United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR).
Ia susulan isu berkenaan tular di media sosial.
Menurut MDM dalam satu kenyataan, pihaknya menjelaskan bahawa premis berkenaan telah disewakan kepada Persatuan Jaringan Islam Global Masa Depan sejak tahun 2020.
"Penyewaan tersebut telah dilaksanakan mengikut prosedur, syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak majlis. Sepanjang tempoh penyewaan tersebut, penggunaan premis adalah bagi tujuan pendidikan dan aktiviti kebajikan berasaskan kemanusiaan.
"NGO berkenaan menerima sokongan dana daripada UNHCR bagi melaksanakan program pendidikan asas kepada kanak-kanak pelarian yang tidak mempunyai akses kepada sistem pendidikan formal.
"Aktiviti yang dijalankan memberi fokus kepada pembelajaran asas, pembangunan sahsiah dan kesejahteraan kanak-kanak selaras dengan prinsip-prinsip kemanusiaan sejagat.
"MDM ingin menegaskan bahawa penyewaan premis ini tidak melibatkan sebarang pengiktirafan status kewarganegaraan, hak bermastautin atau pemberian keistimewaan khas kepada mana-mana individu.
"Penyewaan tersebut merupakan urusan pengurusan aset majlis yang dilaksanakan berdasarkan fungsi dan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan serta tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
"Sepanjang tempoh penyewaan sejak tahun 2020, pihak majlis sentiasa memantau premis berkenaan bagi memastikan aktiviti yang dijalankan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Sehingga kini, pihak majlis tidak menerima sebarang aduan rasmi berkaitan pelanggaran syarat penyewaan yang boleh menjejaskan keselamatan awam, ketenteraman atau keharmonian masyarakat setempat.
"MDM sentiasa mengambil kira kepentingan masyarakat setempat dalam setiap keputusan yang dibuat dan komited untuk memastikan semua aset milik majlis diurus secara berhemah, telus dan bertanggungjawab.
"Sebarang perkara yang dibangkitkan oleh masyarakat akan diteliti dan ditangani sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," maklum kenyataan itu.
Sehubungan itu, MDM menasihati orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih serta mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat atau bersifat spekulatif yang boleh menimbulkan kekeliruan dan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat.
"MDM menghargai keprihatinan semua pihak dan akan terus melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional demi menjaga kesejahteraan serta keharmonian komuniti di Daerah Marang," maklum kenyataan itu.