JOHOR BAHRU, 4 Okt (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) diminta memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang pelajar perempuan tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, semalam seperti dilaporkan media.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata JPNJ dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga perlu memberikan sokongan yang diperlukan kepada keluarga mangsa dan komuniti sekolah yang terkesan.
Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius kejadian berkenaan, lebih-lebih lagi melibatkan keselamatan dan kebajikan murid di kawasan sekolah.
“Saya ingin menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang bentuk buli, keganasan atau perlakuan jenayah yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah.
“ … namun, sama ada insiden ini mempunyai unsur-unsur berkenaan hendaklah ditentukan berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa dan bukannya melalui spekulasi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Dr Muhammad Naqib berkata sekolah mesti kekal sebagai tempat yang selamat untuk menimba ilmu, membina masa hadapan dan berada dalam persekitaran yang melindungi keselamatan serta kesejahteraan mereka.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas tragedi menyayat hati itu dan berharap agar mereka diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang sukar ini.
Memetik laporan media, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemukan maut dipercayai akibat dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng semalam, bagaimanapun pihak polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan kejadian itu.

