Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, beliau berada di Yong Peng pagi ini bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung kejadian yang meragut nyawa seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun.
Kongsi Fadhlina di Facebooknya hari ini, beliau telah menerima taklimat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat dan pihak sekolah berhubung kronologi kejadian serta tindakan yang sedang dijalankan.
Menurut Fadhlina, beliau turut bertemu keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
“Dalam saat begini, tiada siapa yang merasakan kehilangan ini lebih dalam daripada keluarga. Seorang anak telah pergi. Keluarganya berhak mendapat jawapan,” katanya.
Jelasnya, berdasarkan maklumat PDRM, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.
Katanya, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan, manakala kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis,” ujarnya.
Mahu Semua Aspek Di Bawah KPM Diperiksa
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, beliau mahu semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan (KPM) diperiksa secara menyeluruh tanpa menyembunyikan sebarang perkara.
Menurutnya, semakan itu termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan selain aspek kawalan keselamatan dan rondaan di sekolah.
“Syarikat kawalan keselamatan turut diminta memberikan kerjasama bagi semakan tersebut.
“Jika terdapat kecuaian atau tanggungjawab yang tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Fadhlina berkata, KPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dan tidak akan mendahului siasatan yang sedang dijalankan pihak polis.
Pada masa sama, jelasnya, sokongan kaunseling turut diberikan kepada murid serta warga sekolah yang terkesan akibat kejadian berkenaan.
Beliau turut meminta orang ramai memberikan ruang kepada keluarga mangsa serta menghormati proses siasatan yang sedang berjalan.
“Kita mahu kebenaran diperoleh berdasarkan fakta dan bukan spekulasi,” ujarnya.


