Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MCMC Perkukuh Daya Tahan Siber Negara, Meterai Kerjasama Dengan NACSA

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh kesiapsiagaan serta daya tahan siber negara menerusi penganjuran NEXSEC2026 dan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Iklan

Menurut MCMC dalam kenyataan hari ini, kerjasama strategik itu bertujuan meningkatkan perkongsian maklumat mengenai ancaman siber, penyelarasan tindak balas serta pembangunan keupayaan antara kedua-dua agensi, selaras dengan fungsi dan bidang kuasa masing-masing.

NEXSEC2026 yang berlangsung hari ini dan esok di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Program itu menghimpunkan wakil kerajaan, agensi keselamatan, industri, institusi pengajian tinggi serta negara anggota ASEAN bagi memperkukuh keupayaan menghadapi ancaman siber.

Bertemakan “Advancing Cyber Resilience Through Collaboration, Innovation and Talent”, NEXSEC2026 memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan operasi, inovasi teknologi dan pembangunan bakat.

Antara pengisiannya ialah pertandingan Capture the Flag (CTF), Simposium Perkongsian Teknologi, Meja Bulat Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (CISO) serta Pameran Teknologi dan Bakat.

Menurut MCMC, pengisian berkenaan bertujuan meningkatkan kemahiran praktikal, menggalakkan perkongsian penyelesaian dan memperkukuh keupayaan organisasi menangani ancaman siber.

Dalam perkembangan berkaitan, laporan rasmi Global Anti-Scam Alliance (GASA) yang diterima Fahmi menganggarkan kerugian akibat penipuan di Malaysia mencecah RM19.7 bilion dalam tempoh setahun.

MCMC memaklumkan anggaran itu menekankan kepentingan memperkukuh usaha pencegahan penipuan serta perlindungan pengguna.

Menurut suruhanjaya itu, ancaman siber, penipuan dalam talian serta perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum memerlukan pendekatan lebih proaktif.

Sehubungan itu, pengesanan awal ancaman, perlindungan infrastruktur digital serta kesiapsiagaan menghadapi teknologi baharu perlu terus diperkukuh bagi menjamin keselamatan dan keyakinan rakyat.

MCMC turut menegaskan komitmennya untuk meningkatkan kesiapsiagaan negara melalui kerjasama strategik, pengukuhan keupayaan industri dan pembangunan kepakaran tempatan bagi melindungi pengguna serta memperkukuh keyakinan terhadap perkhidmatan digital.

Intipati
  • MCMC dan NACSA memeterai MoU bagi meningkatkan kerjasama keselamatan siber negara.
  • NEXSEC2026 memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan operasi, inovasi teknologi dan pembangunan bakat.
  • GASA menganggarkan kerugian penipuan di Malaysia mencecah RM19.7 bilion setahun.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan