Seorang ulama Islam dari Bangladesh berusia 35 tahun maut dalam serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, Riyadh, ketika dalam perjalanan menunaikan umrah.
Nasrullah Al Badr, seorang mufti dari Bangladesh, merupakan antara 45 jemaah yang berkunjung ke Arab Saudi untuk menunaikan ibadah berkenaan ketika lapangan terbang itu diserang pada Sabtu.
Ketika kejadian, Al Badr dilaporkan sudah mengenakan pakaian ihram, iaitu pakaian khusus yang dipakai umat Islam ketika menunaikan ibadah haji atau umrah.
Pemergiannya meninggalkan tiga orang anak yang masih kecil, dengan anak sulung berusia tujuh tahun manakala anak bongsunya baru berusia dua tahun.
Mufti Bangladesh Maut Dalam Serangan Di Lapangan Terbang Riyadh

Satu video yang tersebar luas di media sosial dipercayai merakamkan ulama itu berada di dalam lapangan terbang beberapa saat sebelum letupan kuat mencetuskan kebakaran dan kepulan asap tebal di terminal penumpang.
Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi pada Ahad memaklumkan bahawa 12 orang terkorban, termasuk empat warga Saudi dan lapan penduduk asing, manakala 309 lagi cedera.
Bagaimanapun, angka korban meningkat kepada 13 orang selepas Kedutaan India di Riyadh mengesahkan seorang warganegaranya meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam serangan tersebut.
Jurucakap gabungan tentera pimpinan Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa, Mejar Jeneral Turki Al Maliki, menuduh kumpulan Houthi melancarkan serangan itu.
Beliau menyifatkan serangan berkenaan sebagai “jenayah perang sepenuhnya” dan menegaskan bahawa Pemerintah Bersama Pasukan Gabungan akan bertindak tegas mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

