Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lapangan Terbang Riyadh Ditutup Hingga 17 Oktober, Hampir 700 Penerbangan Harian Terjejas

Lapangan Terbang Riyadh Ditutup
Kredit: AFP

Arab Saudi pada Isnin mengumumkan lanjutan penutupan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, Riyadh, susulan beberapa siri serangan yang menyasarkan kemudahan itu.

Dalam satu kenyataan, Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi memaklumkan penutupan dilanjutkan bagi melengkapkan pemeriksaan keselamatan dan memastikan kemudahan lapangan terbang bersedia beroperasi semula.

Keputusan itu dibuat selepas lapangan terbang berkenaan menjadi sasaran beberapa serangan sepanjang hujung minggu lalu.

Menurut Flightradar24 menerusi platform media sosial X, penutupan itu dilanjutkan sehingga 17 Oktober, jam 9 malam GMT, sekali gus menjejaskan hampir 700 penerbangan sehari.

Sementara itu, syarikat penerbangan Gulf Air turut mengumumkan pembatalan semua penerbangan dari dan ke Riyadh sehingga 17 Oktober ini.

Lapangan Terbang Riyadh Ditutup Sehingga 17 Oktober

Pada petang Ahad, sebuah objek tidak dikenal pasti dilaporkan menghentam Terminal 4 lapangan terbang berkenaan, mengorbankan seorang warga Pakistan dan mencederakan 11 individu lain, menurut pihak berkuasa Arab Saudi.

Gabungan tentera pimpinan Arab Saudi turut memaklumkan pihaknya berjaya memintas dan memusnahkan sebuah peluru berpandu kruis berhampiran lapangan terbang berkenaan.

Sehari sebelumnya, serangan kumpulan Houthi pada Sabtu dilaporkan menyasarkan terminal penumpang lapangan terbang itu, mengakibatkan 13 kematian dan 309 individu cedera, menurut pihak berkuasa Arab Saudi.

Gabungan tentera pimpinan Arab Saudi menuduh kumpulan Houthi bertanggungjawab terhadap serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu jenayah perang berskala besar.

Siri serangan itu berlaku ketika permusuhan antara Arab Saudi dengan kumpulan Houthi di Yaman semakin memuncak, dengan lapangan terbang serta kemudahan awam dan tenaga turut menjadi sasaran sejak beberapa hari kebelakangan ini.