Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Malaysia Negara Ke-7 Di Dunia Paling Dipercayai Rakyat
Kepercayaan dalam sesebuah negara penting dalam membina akar keyakinan rakyat terhadap institusi utama seperti kerajaan, media, perniagaan dan organisasi sosial.
Ia menjadi elemen penting yang menentukan kestabilan sosial, keberkesanan pentadbiran serta keharmonian masyarakat.
Apabila tahap kepercayaan tinggi, rakyat lebih cenderung untuk menyokong dasar kerajaan, mematuhi undang-undang dan bekerjasama dalam pembangunan negara.
Keadaan ini juga membantu memperkukuh hubungan antara institusi dan masyarakat, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih stabil dan progresif.
Namun, kepercayaan yang rendah boleh membawa kepada keraguan, perpecahan sosial dan penyebaran maklumat tidak sahih.
Oleh itu, kepercayaan perlu sentiasa dipelihara melalui komunikasi yang telus, tadbir urus yang baik serta media yang bertanggungjawab bagi memastikan keharmonian dan kemajuan negara terus terjamin.
Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila tersenarai di tempat ketujuh daripada 28 negara dalam laporan Edelman Trust Barometer 2026.
Indeks Kepercayaan negara turut meningkat kepada 71 mata, berbanding 66 mata pada tahun lalu, menunjukkan peningkatan keyakinan rakyat terhadap institusi utama.
Kajian tersebut menilai tahap kepercayaan terhadap empat sektor utama iaitu kerajaan, perniagaan, media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Walaupun berada dalam kelompok tinggi, laporan itu turut mendedahkan satu fenomena sosial yang semakin ketara dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sebanyak 65 peratus responden didapati semakin sukar mempercayai individu yang mempunyai pandangan politik, latar budaya dan sumber maklumat yang berbeza.
Fenomena ini dikenali sebagai “kepercayaan tertutup” atau insular trust, iaitu kecenderungan masyarakat untuk hanya mempercayai kelompok atau pandangan yang sama dengan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Penasihat Kanan Edelman Asia Tenggara, Mazuin Zin berkata, tahap kepercayaan tinggi terhadap institusi di Malaysia merupakan perkembangan positif.
Namun beliau menegaskan bahawa komunikasi yang jelas dan telus amat penting bagi mengelakkan salah faham serta salah tafsir dalam masyarakat.
Menurutnya, apabila penjelasan tidak mencukupi, lebih banyak andaian akan wujud dalam kalangan orang ramai.
“Sebab itu komunikasi yang jelas penting supaya masyarakat memahami hala tuju dan matlamat yang ingin dicapai bersama,” katanya pada Majlis Pelancaran Edelman Trust Barometer Malaysia 2026 di Petaling Jaya.
Kajian Institut Akhbar Malaysia (MPI) itu dilancarkan oleh Presidennya, Yong Soo Heong.
Kajian berkenaan melibatkan 28 negara dengan 33,938 responden, dijalankan antara 23 Oktober hingga 18 November 2025, termasuk kira-kira 1,200 responden bagi setiap negara.