Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Malaysia Antara Pengeluar Pasport Terpantas Di Dunia - JIM
Umum mengetahui, pasport merupakan antara salah satu dokumen yang penting terutamanya bagi sesiapa sahaja yang ingin meneruskan perjalanan ke luar negara.
Ini kerana ia merupakan bukti kita meneruskan perjalanan ke luar negara secara sah serta untuk mendapatkan perlindungan undang-undang sewaktu berada di luar negara.
Selain itu, ia juga mengandungi segala maklumat yang ada mengenai individu tersebut, bermula dengan nama, nombor kad pengenalan, alamat dan sebagainya.
Oleh itu, penting untuk individu yang ingin meneruskan perjalanan ke luar negara memastikan pasport mereka berada dalam keadaan baik dan sah bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Tidak dinafikan, ada yang menganggap membuat pasport merupakan satu proses yang memakan waktu yang lama dan sukar.
Tambahan lagi, mungkin ramai yang pernah mengalami satu situasi di mana perlu beratur dan menunggu berjam-jam, bahkan sehingga berhari-hari.
Akan tetapi, tahukah anda sebenarnya, proses untuk menyiapkan dokumen tersebut tidaklah memakan masa yang begitu lama.
Menurut perkongsian di Instagram oleh @imigresen, Malaysia sebenarnya antara pengeluar pasport yang terpantas di dunia dengan tempoh siap seawal satu jam.
Ini mampu dilaksanakan dalam tempoh sedemikian hasil dari sistem pendigitalan perkhidmatan pasport negara.

Kongsi @imigresen lagi, jika dahulu, tempoh menyiapkan dokumen tersebut mampu memakan masa sehingga dua ke empat minggu kerana ia dilakukan sepenuhnya secara manual.
Namun, sejak tahun 1998, masa tersebut menjadi lebih singkat antara satu hingga tiga hari.
Pada tahun 2007, sistem digitalisasi semakin meningkat awalnya di Pejabat Pasport Wangsa Maju membolehkan ia siap dalam tempoh satu jam.
Difahamkan, pada tahun 2009 hingga kini, sistem tersebut telah diperluaskan ke seluruh Malaysia.
Ujar @imigresen lagi, kecekapan penyampaian perkhidmatan ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Imigresen Malaysia dalam memastikan urusan rakyat sentiasa dipermudah, cepat dan efisien.
Terdahulu, Jabatan Imigresen Malaysia menerusi perkongsian di Facebook turut berkongsi kedudukan pasport Malaysia.
Ujar Jabatan Imgiresen Malaysia lagi, pasport Malaysia berjaya melonjak ke tangga ke-6 paling berkuasa di dunia bagi tahun 2026 berdasarkan The Henley Passport Index 2026 Global Ranking, berbanding kedudukan ke-12 pada tahun sebelumnya.
"Pencapaian ini mencerminkan keyakinan serta pengiktirafan dunia terhadap Malaysia, di samping membuktikan kekuatan hubungan diplomatik dan mobiliti global negara yang terus diperkasa," tambahnya.
Malah, pasport Malaysia bukan hanya sekadar dokumen perjalanan, malah menjadi simbol kedaulatan, kepercayaan antarabangsa dan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.