Genting Highlands, 21 Oktober 2026 – Dunia bawah tanah kini menemui tanah tinggi apabila Resorts World Genting (RWG) memperkenalkan Spookadilly x Kisah Bawah Tanah, pengalaman imersif baharu yang membawa dunia animasi tempatan daripada skrin ke alam nyata.
Kerjasama ini dilancarkan secara rasmi pada 20 Oktober menerusi satu sidang media khas yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, serta wakil RWG dan Kisah Bawah Tanah.
Menggabungkan dunia Kisah Bawah Tanah yang diinspirasikan daripada cerita rakyat Asia Tenggara dengan dunia Spookadilly yang penuh keceriaan, pengalaman ini memberi peluang kepada pengunjung untuk mendekati watak-watak kegemaran mereka, menyelami kisah di sebalik animasi tersebut serta merasai sendiri pengembaraan yang sebelum ini hanya dapat disaksikan menerusi skrin, sambil meneroka tarikan berbeza di RWG.




Spencer Lee, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, berkata kerjasama berkenaan merupakan satu lagi langkah dalam usaha membangunkan Spookadilly sebagai IP hiburan tempatan.
“Kami teruja untuk membawa Kisah Bawah Tanah ke RWG dan mencipta pengalaman yang dekat dengan pengunjung, menyeronokkan serta mempunyai sentuhan Malaysia yang tersendiri.
“Dalam usaha kami mengembangkan Spookadilly sebagai jenama hiburan sendiri, kerjasama ini membuka ruang untuk kami meneroka watak, kisah dan pengalaman baharu, selain mengetengahkan cerita tempatan dalam suasana yang menyeronokkan dan boleh dinikmati bersama keluarga,” katanya.
Pengasas bersama Kisah Bawah Tanah, Hendra Wardi, turut berkongsi keterujaannya terhadap kerjasama tersebut ketika menyampaikan ucapan.
“Bekerjasama dengan ikon bertaraf dunia seperti RWG, hanya enam bulan selepas Kisah Bawah Tanah memulakan perjalanannya, merupakan satu pencapaian yang amat bermakna buat kami.
Menggabungkan pengalaman luas RWG dalam industri hiburan selama beberapa dekad dengan tenaga segar, kreatif dan bersahaja yang kami bawa sememangnya satu gandingan yang tepat,” ujarnya.
Segalanya bermula apabila Shrunken Head muncul dari satu rekahan misteri dan mencetuskan kekacauan di dunia Bawah Tanah.
Pengunjung kemudiannya dibawa menyertai Bonediddy, Pocing, Zack, Sam dan rakan-rakan mereka dalam misi memulihkan keadaan sambil menerokai lima zon menarik iaitu RnR, Cahaya Apartments, Spookadilly Graveyard, Spookadilly Mansion dan The Mart.
Setiap zon menghidupkan dunia Kisah Bawah Tanah menerusi latar yang berwarna-warni, watak-watak yang tidak asing lagi serta pelbagai kejutan yang mencuit hati, menjadikan pengalaman ini menyeramkan tetapi tidak terlalu menakutkan. Sesuai untuk keluarga, rakanrakan dan golongan muda, kerjasama ini menampilkan sisi nakal dunia mistik, di samping memberikan pengunjung pelbagai pengalaman menarik untuk diterokai sepanjang pengembaraan.
Spookadilly x Kisah Bawah Tanah ditawarkan pada harga RM30 seorang, memberikan pilihan baharu sempena cuti persekolahan buat keluarga yang ingin menikmati pengalaman penuh kisah, penerokaan dan hiburan dalam satu pengembaraan.
Kerjasama ini merupakan antara tarikan utama The Haunted Highlands 2026, yang berlangsung di RWG sehingga 20 November, dengan pelbagai aktiviti dan hiburan bertemakan seram menanti pengunjung sepanjang bulan berkenaan.
Selain meneroka dunia Spookadilly x Kisah Bawah Tanah, penggemar cabaran boleh menguji keberanian di The Echo Asylum, sebuah pengalaman seram yang membawa pengunjung menyelusuri hospital sakit jiwa terbiar dari era 1950-an.
Pengalaman ini dibuka kepada pengunjung berusia 13 tahun ke atas, dengan tiket masuk ditawarkan pada harga RM78 seorang.
Pengunjung yang mahukan lebih banyak keseronokan boleh memilih pakej Horror Adventure pada harga RM128, yang menawarkan kemasukan ke The Echo Asylum dan Spookadilly x Kisah Bawah Tanah, selain tiket Taman Tema Genting SkyWorlds Standard 1 Hari untuk menikmati pelbagai permainan dan tarikan sepanjang hari.
Suasana Halloween turut meriah di seluruh resort menerusi pelbagai aktiviti termasuk perarakan, persembahan secara langsung, sesi bertemu watak, sajian makanan dan minuman bertemakan Halloween serta pelbagai kejutan lain sepanjang bulan berkenaan.
Sambutan bakal diteruskan dengan Halloween Live Experience Concert 2026 pada 31 Oktober di Arena of Stars, yang menampilkan Nick Chou, DJ Blink, Wang Jackson dan Zen Ng.
Dengan pelbagai kejutan, watak-watak mencuit hati dan cabaran di setiap sudut, The Haunted Highlands 2026 menjanjikan pengalaman Halloween yang berbeza buat pengunjung di tanah tinggi sepanjang Oktober.
Untuk maklumat lanjut, layari rwgenting.com atau ikuti platform media rasmi RWG.

