Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Makkah Route Ubah Landskap Perjalanan Haji Malaysia

BERNAMA
makkah route
Kredit: Bernama

Makkah Route Ubah Landskap Perjalanan Haji Malaysia

MAKKAH, 12 Mei (Bernama) -- Pelaksanaan inisiatif Makkah Route antara perubahan paling signifikan dalam operasi pengurusan haji Malaysia, sekali gus mengubah landskap perjalanan jemaah haji negara ke Tanah Suci.

Pengurus Operasi Maktab 63 Tabung Haji (TH) Shahidan Taib berkata kemudahan itu bukan sahaja mempercepatkan urusan ketibaan jemaah di Arab Saudi, malah mengurangkan keletihan fizikal dan emosi selepas menempuh perjalanan jauh.

Beliau yang berkhidmat bersama TH selama 29 tahun berkata sebelum pelaksanaan Makkah Route, jemaah haji Malaysia perlu menunggu antara lima hingga enam jam di lapangan terbang Jeddah atau Madinah bagi menyelesaikan proses imigresen.

“Dulu, jemaah turun kapal terbang dan terpaksa menunggu lama untuk pemeriksaan imigresen. Ada yang keletihan kerana perjalanan jauh dan suasana yang sesak.”

“Perkembangan teknologi membantu petugas TH menyelaras pergerakan jemaah dengan lebih cekap selain mempercepatkan tindakan sekiranya berlaku sebarang isu,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan berkata kerajaan Arab Saudi turut memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi haji menerusi kawalan lebih ketat terhadap kemasukan jemaah ke kawasan Masyair.

Beliau berkata langkah menghalang individu tanpa visa haji daripada memasuki kawasan ibadah membantu mengurangkan kesesakan dan melancarkan pergerakan bas.

“Antara langkah yang diambil ialah ‘seal bas’, iaitu bas dikunci selepas jemaah naik bagi mengelakkan penumpang luar naik sama. Ia bagi memastikan hanya jemaah sah berada dalam bas dan perjalanan menjadi lebih teratur,” katanya.

Shahidan ketika berkongsi pengalaman beliau semasa musim haji sebelum ini berkata operasi pengangkutan haji pernah berdepan cabaran besar termasuk gangguan sistem shuttle atau Taradudiya pada musim haji 2003 yang menyebabkan pergerakan jemaah tidak teratur.

“Ketika itu, petugas terpaksa membuat keputusan secara ad hoc dan keadaan memang sangat mencabar.

“Namun, penambahbaikan berterusan oleh TH dan pihak berkuasa Arab Saudi berjaya menjadikan operasi haji kini lebih sistematik, tersusun dan mesra jemaah,” katanya.

Sumber:BERNAMA