Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Mahu Sebut "Hakim", Prabowo Tersasul Sebut Kenaikan Gaji Guru Hampir 300 Peratus
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto baru-baru ini mencuri perhatian apabila sempat tersasul ketika berucap dalam sidang penuh Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada Rabu, 20 Mei 2026.
Memetik Tempo.co, Prabowo tersilap menyebut bahawa gaji guru meningkat hampir 300 peratus, sedangkan yang dimaksudkannya ialah profesion hakim.
Ketua Umum Parti Gerakan Indonesia Raya itu pada awalnya menyampaikan bahawa negara yang ingin maju perlu mempunyai kerajaan dan birokrasi yang kukuh.
“Tidak ada negara maju tanpa kepastian undang-undang,” kata Prabowo di Bangunan MPR/DPR/DPD, Jakarta.
Meneruskan ucapannya, Prabowo menyatakan bahawa langkah menaikkan gaji hakim dilakukan kerana kepentingan memperkukuh sistem keadilan negara.
Namun, beliau secara tidak sengaja tersilap menyebut “guru” sebagai ganti “hakim” ketika menjelaskan perkara tersebut.
“Kerana itu kerajaan saya telah menaikkan gaji-gaji guru, ada yang sampai hampir 300 peratus naiknya, pendapatan guru-guru,” katanya.
Menyedari kesilapan tersebut, beliau terdiam seketika sebelum segera membetulkan kenyataannya.
“Hakim-hakim kita, maaf, hakim,” tambahnya.
Prabowo menyatakan bahawa beliau berbangga kerana menerima laporan bahawa Ketua Mahkamah Agung Indonesia mempunyai pendapatan lebih tinggi berbanding pimpinan Mahkamah Agung di Singapura.
Selain itu, beliau berkata gaji hakim di negara ini juga lebih tinggi berbanding hakim pada tahap yang sama di Malaysia.
Prabowo menjelaskan bahawa langkah ini bertujuan untuk mewujudkan institusi yang bersih.
“Kita tidak mahu hakim-hakim kita disogok, dibeli. Kita juga tidak mahu semua pegawai kita yang lain seperti itu,” katanya.
Dalam ucapan yang sama, beliau turut menyuarakan hasrat agar kebajikan guru-guru terus terjamin, dengan menegaskan bahawa masa depan negara bergantung kepada kualiti pendidikan yang diberikan kepada generasi muda.
“Memperbaiki keadaan hidup guru harus menjadi keutamaan kita,” kata Prabowo.
Pada masa yang sama, beliau mengakui masih terdapat guru, serta penguat kuasa undang-undang dan penjawat awam, yang menerima gaji rendah.
Menurutnya, antara punca keadaan itu ialah kemampuan belanjawan negara yang terhad.
Beliau turut menyebut bahawa salah satu faktor kekangan kewangan negara berpunca daripada amalan rasuah.
“Apa yang berlaku ialah apa yang disebut under-invoicing. Under-invoicing sebenarnya adalah penipuan,” jelasnya.
Prabowo hadir ke sidang Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bagi menyampaikan Kerangka Ekonomi Makro dan Pokok-Pokok Kebijakan Fiskal (KEM-PPKF).
Presiden ke-8 Indonesia itu menjadi presiden pertama yang menyampaikan KEM-PPKF secara langsung kepada parlimen.