Penghidap diabetes perlu memberi perhatian terhadap luka kaki yang lambat sembuh serta kesakitan ketika berjalan kerana keadaan itu mungkin menandakan penyakit arteri periferi (PAD), kata Pakar Bedah Vaskular dan Endovaskular di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), Dr Tan Kia Lean.
Beliau berkata pengurusan diabetes tidak seharusnya tertumpu kepada kawalan gula dalam darah semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi pemeriksaan kesihatan salur darah bagi mengesan komplikasi lebih awal.
“Kawalan gula sahaja semasa pemeriksaan rutin sebenarnya tidak mencukupi. Selain ujian darah untuk menilai fungsi pelbagai organ dan mengawal paras gula, pemeriksaan mata, deria dan vaskular sememangnya penting untuk pengesanan awal kerosakan organ,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Diabetes Sedunia.
PAD berlaku apabila arteri yang membekalkan darah kepada anggota badan, terutama kaki, menjadi sempit atau tersumbat sehingga mengurangkan aliran darah.
Menurut Dr Tan, sehingga 50 peratus penghidap PAD mungkin tidak mengalami gejala ketara pada peringkat awal, walaupun peredaran darah sudah terjejas.
Apabila gejala muncul, pesakit mungkin mengalami sakit, kekejangan atau keletihan pada kaki ketika melakukan aktiviti fizikal. Tanda lain termasuk kaki berasa sejuk, keguguran bulu pada kaki serta kuku kaki yang rapuh.
“Klaudikasi selangan merujuk kepada rasa tidak selesa, tegang atau sakit pada bahagian kaki selepas berjalan dalam jarak tertentu yang lazimnya berkurangan selepas berehat. Ia merupakan salah satu gejala awal PAD yang biasa,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata perubahan itu boleh disalah anggap sebagai keletihan, kesan penuaan atau komplikasi diabetes yang lain.
Luka yang lambat sembuh, sakit kaki ketika berehat serta gangren pula boleh menandakan keadaan yang lebih serius.
Pengesanan PAD juga menjadi lebih sukar apabila pesakit mengalami neuropati diabetes, iaitu kerosakan saraf yang boleh menyebabkan kesemutan, kebas atau pengurangan deria rasa pada kaki.
Menurutnya, kedua-dua keadaan boleh berlaku serentak, menyebabkan pesakit kurang menyedari kecederaan atau luka yang sukar sembuh akibat peredaran darah lemah.
Beliau berkata pemeriksaan denyutan nadi pada kaki boleh membantu doktor mengenal pasti kemungkinan masalah peredaran darah, termasuk bagi pesakit yang tidak mengalami kesakitan.
Penilaian lanjut mungkin melibatkan ujian indeks buku lali-lengan (ABI), yang membandingkan tekanan darah pada buku lali dan lengan, selain ultrabunyi dupleks atau angiogram CT mengikut keadaan pesakit dan hasil pemeriksaan klinikal.
Dr Tan turut menjelaskan bahawa diagnosis PAD tidak semestinya bermaksud pesakit akan kehilangan anggota badan atau perlu menjalani amputasi.
Rawatan bergantung kepada tahap penyakit, lokasi salur darah yang tersumbat, kewujudan luka serta kesihatan pesakit secara keseluruhan.
Pada peringkat awal, pendekatan rawatan boleh merangkumi perubahan gaya hidup, berhenti merokok, senaman, ubat-ubatan serta pengurusan diabetes dan faktor risiko lain.
Bagi pesakit yang memerlukan prosedur untuk memulihkan aliran darah, rawatan endovaskular yang bersifat invasif minimum menyediakan pilihan untuk merawat arteri melalui tusukan kecil.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada satu kaedah rawatan yang sesuai untuk semua pesakit. Bagi mereka yang mempunyai luka tidak sembuh, kawalan jangkitan, pembuangan tisu rosak dan penjagaan luka berterusan turut penting selain pemulihan aliran darah.
“Penghidap diabetes terutamanya golongan dewasa yang lebih berusia, tidak seharusnya menganggap kesakitan atau kelemahan pada kaki sebagai sesuatu yang biasa disebabkan oleh diabetes atau penuaan,” katanya.
Beliau menyarankan penghidap diabetes yang mengalami ketidakselesaan kaki berulang, perubahan pada kaki atau luka lambat sembuh mendapatkan penilaian perubatan lebih awal bagi mengurangkan risiko komplikasi serius.

