KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Angkatan (LTAT) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, yang bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai Di Langit, Mengakar Di Bumi”.
Belanjawan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif di bawah kerangka MADANI.
Sebagai belanjawan kelima di bawah Kerajaan MADANI, Belanjawan 2027 memperuntukkan sejumlah RM510 bilion, meningkat berbanding RM470 bilion pada tahun sebelumnya.
Peningkatan ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memperkukuh asas ekonomi dan memacu pembangunan negara.
Peruntukan sebanyak RM22 bilion kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) turut menegaskan kepentingan mempertahankan kedaulatan negara, memastikan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta memelihara keamanan, keselamatan dan kemakmuran negara dalam jangka panjang.
Sebagai institusi penting dalam ekosistem pertahanan negara, LTAT menghargai keutamaan berterusan yang diberikan oleh Kerajaan terhadap sektor pertahanan.
LTAT komited untuk menterjemahkan keutamaan negara ini kepada hasil yang bermakna melalui pelaburan berdisiplin, kerjasama strategik dan penciptaan nilai yang mampan demi kepentingan pencarum.
Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Muhammad Ashraf Md Radzi, berkata, “Ekosistem pertahanan negara yang kukuh merupakan asas penting dalam mempertahankan kedaulatan serta memelihara keamanan dan kestabilan yang menjadi tunjang kemakmuran Malaysia.
LTAT menyambut baik komitmen berterusan Kerajaan terhadap perbelanjaan pertahanan, yang mencerminkan kepentingan, memastikan kesiapsiagaan ATM sentiasa terpelihara, di samping membangunkan keupayaan domestik bagi memperkukuh keselamatan negara.
“Melalui pelan strategik lima tahun GEMPUR30, LTAT akan terus menyelaraskan strategi pelaburannya dengan keutamaan negara, termasuk memperkukuh sektor pertahanan dan farmaseutikal. Kedua-dua sektor ini penting kepada keselamatan negara, daya tahan sistem kesihatan dan keupayaan ekonomi Malaysia. Tanggungjawab kami adalah untuk memastikan modal yang diamanahkan oleh pencarum diuruskan secara bertanggungjawab bagi menjana pulangan mampan, di samping menyumbang kepada kekuatan negara untuk jangka panjang,” katanya.
LTAT turut menyambut baik usaha Kerajaan untuk menggerakkan pelaburan domestik menerusi inisiatif GEAR-uP, termasuk agenda pelaburan domestik berjumlah RM25 bilion.
Pendekatan ini memperkukuh peranan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sebagai rakan strategik dalam memacu transformasi ekonomi, membangunkan sektor pertumbuhan tinggi dan menjana nilai ekonomi yang mampan.
Sejajar dengan agenda ini, LTAT berbesar hati dapat mengambil bahagian dalam New Economy Venture Fund menerusi pembangunan Elmina oleh Sime Darby Property, bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bagi menyokong pembangunan ekonomi dan memperkukuh landskap pelaburan negara.
Datuk Muhammad Ashraf menambah, “GEAR-uP menyediakan platform penting untuk GLIC bekerjasama dengan Kerajaan dan rakan sektor swasta dalam menggerakkan modal bagi menyokong fasa pertumbuhan Malaysia yang seterusnya. LTAT bersedia memainkan peranan dalam usaha kolektif ini dengan mengimbangi tanggungjawab melindungi kepentingan pencarum dan peluang untuk menyertai pelaburan yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.”
Selaras dengan aspirasi Belanjawan 2027, LTAT akan terus menyokong pembangunan industri farmaseutikal negara melalui pelaburan strategiknya dalam Pharmaniaga, di samping memperkukuh ekosistem pertahanan menerusi Kumpulan Boustead.
Pelaburan ini mencerminkan usaha LTAT untuk membangunkan keupayaan industri tempatan, meningkatkan keupayaan dalam sektor kritikal serta menyokong agenda ekonomi dan keselamatan negara.
LTAT turut menyokong usaha Kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat melalui dasar gaji yang progresif, termasuk inisiatif berkaitan gaji minimum dan gaji kehidupan wajar, bagi memperluas pertumbuhan inklusif serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Komitmen LTAT turut merangkumi kesejahteraan sosioekonomi komuniti ATM.
Melalui inisiatif seperti Program Pemerkasaan Usahawan Wira, program literasi kewangan dan latihan peralihan kerjaya bagi anggota yang bakal bersara, LTAT terus menyediakan peluang kepada anggota ATM, veteran dan keluarga mereka untuk memperkukuh daya tahan kewangan serta membina sumber pendapatan yang mampan selepas perkidmatan.
Berpandukan GEMPUR30, LTAT akan terus mengutamakan pengurusan dana yang berhemah, tadbir urus yang kukuh dan pengagihan modal secara bertanggungjawab.
Dengan menyelaraskan keutamaan pelaburan dengan keperluan negara, sambil memelihara kepentingan jangka panjang pencarum, LTAT komited untuk terus memperkukuh ekosistem pertahanan, memajukan industri strategik dan menyumbang kepada pembinaan Malaysia yang berdaya tahan serta makmur.


