Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lelaki Maut Terjatuh Dalam Tangki Air Ketika Kerja Kimpalan

Lelaki Maut Terjatuh
Kredit: Bernama

Lelaki Maut Terjatuh Dalam Tangki Air Ketika Kerja Kimpalan

IPOH, 28 Julai (Bernama) -- Bomba mengesahkan seorang lelaki maut dipercayai terjatuh ke dalam sebuah tangki air ketika melakukan kerja kimpalan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Parit dekat Parit hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 3.46 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

Beliau berkata mangsa dikenali sebagai Muhammad Nazrin Yaakob, 34, dipercayai terjatuh ke dalam tangki air ketika menjalankan kerja mengimpal tangga di bahagian dalam tangki berkenaan.

“Anggota bomba kemudian memasuki tangki air itu bagi menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan tali penyelamat untuk mengeluarkan mangsa ke permukaan tangki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus di Sungai Kampar berhampiran sebuah resort di Kebun Pak Wan dekat Gopeng hari ini.

Sabarodzi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian yang menimpa mangsa berusia 17 tahun itu pada 1.45 tengah hari sebelum anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Tronoh yang sedang menjalani latihan di lokasi sama melancarkan operasi mencari.

“Mangsa berjaya ditemukan kira-kira 10 minit kemudian pada jarak antara 15 hingga 20 meter dari lokasi asal dipercayai dilihat kali terakhir,” katanya.

Beliau berkata pegawai perubatan KKM mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


Intipati
  • Muhammad Nazrin Yaakob, 34, maut dipercayai terjatuh dalam tangki air di MRSM Parit.
  • Bomba mengeluarkan mangsa menggunakan tali penyelamat sebelum disahkan meninggal dunia oleh KKM.
  • Seorang remaja lelaki 17 tahun turut ditemukan lemas di Sungai Kampar dekat Gopeng.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan