Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Impian Man Rajalawak Pusing Satu Perlis Tidak Kesampaian, Isteri Terjatuh Di Bilik Air

rajalawak
Man Rajalawak bergambar bersama isterinya, Azlina Awaludin sebelum memulakan perjalanan konvoi Harley Davidson sempena RMC NorthQuest Perlis 2026 di Putrajaya baru baru ini. FOTO: Man Rajalawak

Hasrat pelawak dan Presiden Reappear Motorcycle Club Malaysia (RMC), Abdul Rahman Kasim atau lebih dikenali sebagai Man Rajalawak, untuk menjelajah seluruh Perlis bersama rakan kelab selama tiga hari tidak kesampaian apabila isterinya terjatuh di bilik air pada hari pertama konvoi.

Man berkata, beliau sebelum ini sudah merancang perjalanan bersama RMC dari 23 hingga 25 Oktober dan sanggup menolak tawaran kerja lain demi meluangkan masa bersama ahli kelab berkenaan.

Keadaan semasa isteri Man Rajalawak Azlina Awaludin. FOTO: Man Rajalawak

Menurutnya, beliau teruja untuk mengelilingi Perlis bagi menikmati keindahan negeri itu, mengunjungi tempat menarik serta mencuba pelbagai lokasi makanan dan melakukan aktiviti bersama rakan kelab.

“Saya dah rancang awal. Persediaan memang rapi. Boleh dikatakan apa-apa kerja yang datang pun saya tolak sebab saya dah janji dengan kelab saya untuk bersama mereka selama tiga hari.

“Saya nak mengelilingi Perlis, pergi ke tempat menarik untuk makan, berkunjung dan beraktiviti bersama kelab saya sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, perancangan itu berubah apabila isterinya tergelincir di bilik air sejurus tiba di hotel pada hari pertama sehingga mengalami patah pada pergelangan tangan kiri.

Jelasnya, kejadian itu menyebabkan beliau terpaksa mengetepikan hasrat untuk menyertai aktiviti konvoi pada keesokan harinya bagi membawa isterinya mendapatkan rawatan di hospital.

Katanya, keadaan isterinya yang mengalami kesakitan memerlukan perhatian segera dan beliau mengambil keputusan untuk mengutamakan keselamatan serta kebajikan isteri berbanding meneruskan perancangan asal.

“Saya terpaksa batalkan hasrat untuk bersama-sama RMC kerana nak bawa isteri mendapatkan rawatan. Tangan dia tak boleh tunggu lama dan dia agak kesakitan juga.

“Rasa kecewa pun ada, rasa ralat pun ada sebab kita memang dah merancang. Tapi apa juga yang terjadi, saya reda dan saya rasa ada hikmah di sebalik kejadian ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Man berkata, beliau menghargai sikap ahli RMC yang tetap meneruskan aktiviti jelajah seperti dirancang, selain tidak putus-putus bertanyakan khabar mengenai keadaan isterinya.

Menurutnya, keadaan isterinya kini dilaporkan selamat dan sudah boleh bergerak seperti biasa, namun masih memerlukan penjagaan serta rawatan susulan bagi kecederaan pada pergelangan tangannya.

“Alhamdulillah, isteri saya dah selamat dan dah boleh bergerak macam biasa. Cuma tangan dia perlu dijaga dan saya akan mendapatkan rawatan susulan di hospital berdekatan rumah nanti,” katanya.

Beliau turut berharap kejadian itu tidak menjejaskan kelancaran penganjuran program berkenaan, selain menyatakan hasrat untuk menyertai aktiviti RMC yang akan datang sekiranya keadaan mengizinkan.

“Saya reda dengan apa yang berlaku. Insya-Allah, kalau tak ada apa-apa, saya akan sertai program akan datang. Yang penting, semuanya berjalan dengan lancar dan saya puas hati untuk kali ini,” katanya.

Untuk rekod, Reappear Motorcycle Club Malaysia (RMC) menganjurkan RMC NorthQuest Perlis 2026: Jelajah Pesona Perlis – Satu Konvoi Seribu Keindahan dari 23 hingga 25 Oktober 2026, membabitkan 38 motosikal Harley-Davidson serta 61 peserta dan petugas.

Program pelancongan bermotosikal tahunan itu bertujuan memperkenalkan keunikan destinasi pelancongan Perlis kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Penganjuran berkenaan turut mengetengahkan tarikan alam semula jadi, warisan, budaya serta keistimewaan pelancongan negeri Perlis menerusi siri jelajah dan persinggahan di beberapa lokasi menarik.

Pada 24 Oktober, peserta konvoi meneruskan aktiviti lawatan pelancongan bermula dari Warung Seri Pemandangan di Sungai Batu Pahat, sebelum mengunjungi Gua Kelam di Kaki Bukit dan Padang Besar Street.

Jelajah hari ketiga pada 25 Oktober pula merangkumi persinggahan di Nat Pokok Getah, Shell Kerpan dan Seri Lana di Jerlun, Kedah, sebelum peserta meneruskan perjalanan pulang dengan beberapa hentian di sepanjang laluan selatan.

Program yang menghimpunkan komuniti permotoran dari beberapa negeri itu turut disertai kira-kira 60 peserta dari Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Kelab RMC yang ditubuhkan pada 2019 menjadi platform menghimpunkan peminat motosikal berkuasa tinggi menerusi aktiviti konvoi dan pengembaraan bermotosikal.

Penganjuran NorthQuest Perlis 2026 turut dirancang sebagai acara tahunan bagi memperkukuh promosi destinasi pelancongan negara serta menggalakkan penglibatan komuniti permotoran dalam sektor pelancongan.

Sepanjang konvoi di Perlis, aspek keselamatan diberi perhatian menerusi kawalan dan kerjasama pihak berkaitan, termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Antara rakan strategik dan penaja program ialah Shell Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kawalan Keselamatan Sentral dan Sembang@Jln Sultan Ismail.

Man berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Tengah Hari RMC di Kedah sempena RMC NorthQuest Perlis 2026: Jelajah Pesona Perlis – Satu Konvoi Seribu Keindahan.

Intipati
  • Man Rajalawak membatalkan penyertaan konvoi selepas isterinya terjatuh di bilik air hotel.
  • Isterinya mengalami patah pergelangan tangan kiri dan dibawa mendapatkan rawatan di hospital.
  • RMC NorthQuest Perlis 2026 menghimpunkan motosikal Harley-Davidson bagi mempromosikan pelancongan Perlis.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan