Seorang lelaki di pantai Brazil yang dilaporkan dalam keadaan mabuk, maut selepas diserang ikan jerung ketika dia menuju ke dalam laut untuk membuang air kecil, lapor Daily Mail.
Tangan dan kaki lelaki berusia 51 tahun itu dilaporkan telah digigit oleh ikan tersebut di Pantai Piedade di Jaboatao dos Guararapes pada Sabtu.
Setelah dibawa ke pantai, lelaki tersebut telah terbaring sambil diperhatikan orang ramai sebelum dibawa ke hospital di Recife di mana dia disahkan meninggal dunia.

Insiden itu berlaku berhampiran kawasan pantai yang pernah merekodkan 12 serangan jerung sebelumnya.
Terdapat seorang penyelamat pantai yang dilaporkan sedang bertugas pada ketika itu, namun dia tidak dapat berbuat apa-apa insiden itu berlaku.
Seorang lelaki memberitahu kepada wartawan bahawa mangsa telah minum bersama rakan-rakannya. Dia memasuki laut tersebut sekitar jam 2 ketika cuaca mendung dan laut menjadi berombak.
“Ada seorang daripada kawan saya yang berada di laut bersama dengan mangsa. Tiba-tiba, dia ternampak lelaki itu sedang bergelut. Terdapat banyak darah di dalam air,” ujarnya.
Ketika jerung itu menyerang, hanya terdapat mangsa dan individu lain yang berjaya terlepas tanpa kecederaan sahaja yang berada di dalam air ketika itu.

Rakan kepada lelaki itu menyatakan kepada wartawan: “Kerana pantai itu tidak mempunyai bilik air, saya telah pergi ke dalam laut untuk buang air kecil. Saya berada di sebelahnya.”
Rakan-rakan mangsa pada ketika itu terus membawa mangsa ke pantai di mana dia terus terjatuh dan tidak sedarkan diri.
Tidak dapat dipastikan ikan jerung jenis apa yang menyerangnya.