Kerajaan MADANI mengambil tindakan terhadap sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang, susulan pengesanan transaksi mencurigakan yang disyaki melibatkan penyalahgunaan subsidi bahan api di bawah inisiatif BUDI MADANI.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan pada 27 Oktober memaklumkan, tindakan itu diambil selepas beberapa penerima BUDI MADANI membuat aduan bahawa maklumat MyKad mereka telah digunakan tanpa pengetahuan untuk membeli petrol bersubsidi.
Kesemua pengadu dilaporkan telah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
Lebih 100,000 Liter Petrol Terlibat

Susulan aduan tersebut, MoF menjalankan semakan terhadap rekod transaksi stesen minyak berkenaan dan mendapati lebih 1,000 transaksi menggunakan kaedah pintasan manual (manual bypass) telah direkodkan.
Transaksi yang dikesan itu melibatkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi kerajaan melebihi RM270,000.
Hasil semakan berkenaan mendorong kementerian mengambil beberapa tindakan bagi menghalang penyalahgunaan subsidi daripada terus berlaku.
Stesen Minyak Disekat, Bayaran Subsidi Ditahan Kerana Salah Guna BUDI
Antara tindakan yang diambil ialah menyekat stesen minyak terbabit daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah BUDI MADANI.
MoF turut menahan bayaran subsidi kepada stesen minyak berkenaan dengan jumlah awal melebihi RM270,000, tertakluk kepada penyelarasan lanjut.
Selain itu, sembilan individu termasuk pemilik stesen minyak dan ahli keluarga mereka turut disekat daripada menggunakan kemudahan subsidi BUDI MADANI sementara tindakan susulan dilaksanakan.
Kementerian turut mengenal pasti beberapa individu lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan dan sedang meneliti rekod transaksi mereka.
Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya mereka didapati terlibat dalam penyalahgunaan subsidi.
Kerajaan Beri Amaran Terhadap Penyalahgunaan Subsidi
Menurut MoF dalam kenyataan yang sama, BUDI MADANI dirangka bagi memastikan subsidi produk petroleum disasarkan khusus kepada rakyat Malaysia mengikut tujuan dan kegunaan yang ditetapkan.
Kementerian menegaskan bahawa subsidi berkenaan merupakan keistimewaan untuk rakyat dan tidak sepatutnya disalahgunakan bagi memperoleh keuntungan peribadi.
Sebarang penyelewengan subsidi disifatkan sebagai bertentangan dengan matlamat penyaluran bantuan kerajaan, lebih-lebih lagi ketika konflik di Asia Barat terus menjejaskan bekalan tenaga dunia dan memberi tekanan kepada harga bahan api.
Kerajaan MADANI turut menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana stesen minyak atau pengguna yang didapati melanggar garis panduan BUDI MADANI.
MoF berkata, pemantauan terhadap transaksi BUDI MADANI akan diteruskan dan kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi.

