Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Menjelang musim perayaan Hari Raya Aidiladha yang bertembung dengan cuti persekolahan serta cuti hujung minggu yang panjang, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menggesa semua pemandu supaya mengutamakan keselamatan dan merancang perjalanan dengan bijak.
WCE menjangkakan peningkatan ketara aliran trafik susulan pergerakan pulang ke kampung dan percutian, dengan anggaran lebih daripada 150,000 kenderaan sehari pada hari-hari puncak sepanjang tempoh tersebut.
Bagi memastikan kelancaran aliran trafik serta keselesaan pengguna, WCE akan melaksanakan pelbagai langkah kesiapsiagaan. Ini termasuklah penangguhan semua kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya, kecuali bagi kerja-kerja kecemasan luar jangka.

Selain itu, jentera bantuan seperti trak tunda akan ditempatkan di lokasi strategik sepanjang jajaran lebuh raya. Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) serta petugas peronda juga turut diperkukuh bagi memastikan bantuan dapat diberikan secara pantas dan berterusan 24 jam sehari. Langkah proaktif ini diambil bagi memastikan sebarang insiden dapat ditangani dengan segera sekali gus meminimumkan gangguan kepada aliran trafik utama.
Dalam usaha meningkatkan pengalaman perjalanan yang lebih lancar, pengguna disarankan memanfaatkan versi terkini aplikasi mudah alih WCE yang menyediakan navigasi laluan, maklumat lokasi kemudahan (stesen EV, tempat berteduh motosikal dan telefon kecemasan), bantuan Kecerdasan Buatan (AI) serta maklumat trafik masa nyata.
Perancangan perjalanan digital kini turut dipermudah dengan sokongan menyeluruh sistem PayDirect Touch n’ Go di semua plaza tol WCE, yang membolehkan caj ditolak terus daripada baki e-dompet (e-wallet) tanpa perlu menambah nilai kad secara manual.

Di samping kemudahan digital, Lebuhraya WCE turut menyediakan infrastruktur fizikal yang selesa untuk para pengguna termasuk enam (6) Hentian Rehat dan Rawat (R&R) yang dilengkapi dengan kemudahan asas seperti kawasan parkir, surau dan tandas.
Kemudahan gerai makanan turut disediakan di beberapa lokasi terpilih iaitu di R&R Sungai Nyior (arah utara dan selatan) serta R&R Bukit Kapar (arah utara). Selain itu, Hentian Sebelah dengan kemudahan asas turut disediakan di setiap plaza tol.
Kenyataan ini disokong oleh Pengarah Urusan Lebuhraya WCE, Lyndon Alfred Felix yang menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada.

“Dalam tempoh pergerakan trafik yang tinggi ini, kami menasihatkan semua pengguna agar merancang perjalanan lebih awal dan mengutamakan aspek keselamatan pada setiap masa. Dengan sokongan kemudahan digital dan kesiapsiagaan operasi, WCE komited untuk memastikan pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan efisien."
"WCE mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha, Selamat Hari Wesak dan selamat bercuti kepada semua. Berhati-hatilah di jalan raya," katanya.

Sebagai panduan dan persediaan persinggahan, WCE menyarankan pengguna lebuh raya untuk mengambil langkah-langkah berikut:
Memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.
Mematuhi had laju dan mengekalkan jarak selamat antara kenderaan.
Memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keledar serta penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS).
Memastikan baki e-dompet (e-wallet) atau kad Touch ‘n Go mencukupi, terutamanya bagi pengguna kemudahan PayDirect, bagi mengelakkan sebarang gangguan transaksi di plaza tol.
Mengamalkan pemanduan berhemah, sabar dan bertolak ansur sesama pengguna jalan raya.
Mengambil rehat secukupnya di R&R atau Hentian Sebelah bagi mengelakkan keletihan dan risiko micro-sleep
Aplikasi mudah alih WCE kini boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store dan Apple App Store. Pengguna amat digalakkan untuk menyemak keadaan trafik semasa menerusi ciri CCTV di dalam aplikasi berkenaan terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.