Leapmotor mencapai pengeluaran terkumpul dua juta kenderaan pada 19 November lalu, sekali gus menjadi syarikat pemula kenderaan tenaga baharu (NEV) China pertama mencapai jumlah berkenaan, menurut syarikat itu.
Kenderaan ke-dua juta Leapmotor siap dikeluarkan dari barisan pemasangan di pangkalan pembuatan pintarnya di Jinhua, China.
Dalam kenyataan, Leapmotor memaklumkan pencapaian itu menyusul pertumbuhan penghantaran globalnya, yang meningkat 65.88 peratus kepada 772,666 unit bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Pada Oktober sahaja, syarikat itu merekodkan penghantaran tertinggi sebanyak 106,127 unit, menjadikannya bulan keempat berturut-turut jumlah penghantaran melebihi 100,000 unit.
Menurut Leapmotor, perkembangan itu disokong pelaburan berterusan dalam teknologi, kualiti dan kecekapan operasi, termasuk pembangunan serta pembuatan secara dalaman.
Pendekatan tersebut membolehkan syarikat mengawal kualiti produk dan kos, selain menawarkan teknologi termaju kepada kumpulan pelanggan yang lebih luas.
Portfolio kenderaannya merangkumi platform A, B, C dan D, meliputi model kompak hingga model utama jenama itu.
Siri C dan D secara bersama menyumbang lebih separuh daripada keseluruhan dua juta kenderaan yang telah dikeluarkan, manakala jualan global terkumpul Siri C menghampiri satu juta unit.
Model C10 dan C11 masing-masing turut mencatatkan jualan global terkumpul melebihi 350,000 unit.
Syarikat itu memaklumkan B10 kekal antara modelnya yang paling laris di peringkat global, sementara B03X yang mula ditawarkan di luar China pada Oktober turut menyumbang kepada perkembangan portfolio antarabangsanya.
Menurut Leapmotor, pencapaian pengeluaran dua juta kenderaan mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap gabungan teknologi, kualiti, kepraktisan dan nilai yang ditawarkan jenama berkenaan.
Syarikat itu akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan kenderaan berdasarkan keperluan pengguna serta memperkukuh keupayaan pembangunan, pembuatan dan kawalan kualitinya bagi menyokong pertumbuhan seterusnya.
Di peringkat antarabangsa, Leapmotor International B.V. merupakan usaha sama yang diterajui Stellantis, dengan pegangan 51 peratus oleh Stellantis dan 49 peratus oleh Leapmotor.
Beribu pejabat di Amsterdam, syarikat itu memulakan operasi di Eropah pada September 2024 dan sedang mengembangkan kehadirannya ke India, Asia Pasifik, Asia Barat, Afrika serta Amerika Selatan.

