Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jenama air botol terkemuka negara, Spritzer menerima pensijilan produk bertauliah pertama NSF bagi kategori air botol dan minuman di Malaysia.
Spritzer menerima pensijilan di bawah ANSI-Accredited Product Certification Body - Accreditation #0216 bagi tiga rangkaian produk iaitu Air Mineral Semula Jadi, Air Minuman Suling dan Air Mineral Semula Jadi Berkarbonat.
Pengarah Urusan NSF APAC, Sutida Ketudut berkata pensijilan pertama bagi kategori air botol dan minuman di Malaysia itu membolehkan NSF terus memperluaskan kehadirannya di rantau Asia Pasifik, selain menyokong lebih banyak perniagaan dalam usaha mengutamakan standard kualiti dan keselamatan.
“Pensijilan Air Botol dan Ais Berbungkus NSF membantu jenama menonjol dalam pasaran yang sangat kompetitif, selain memastikan pengguna mempunyai pilihan air minuman dan minuman yang disahkan serta diyakini," katanya.
NSF membangunkan program Pensijilan Air Botol yang merangkumi garis panduan dan syarat komprehensif khusus untuk air botol.
Ia merupakan satu-satunya program pensijilan produk bertauliah yang menawarkan analisis untuk air botol termasuk analisis mikrobiologi, kimia dan radiologi mengikut peraturan serta piawaian kebangsaan dan antarabangsa.
Sementara itu, Dr Chuah berkata Spritzer berbangga menjadi syarikat air botol pertama di Malaysia yang menerima pensijilan Kualiti Air Minuman NSF yang diiktiraf di peringkat global.

“Pengiktirafan ini mengukuhkan komitmen kami dalam menyediakan air minuman yang selamat dan berkualiti tinggi.
“Kami juga mengutamakan integriti pembungkusan serta kelestarian, termasuk penggunaan bahan kitar semula dan pembungkusan yang disahkan bebas mikroplastik bagi rangkaian air mineral semula jadi kami, sekali gus memastikan pilihan yang lebih selamat dan diyakini pengguna.
“Pensijilan NSF melengkapkan pensijilan kualiti lain yang dimiliki Spritzer dan menjadi pencapaian penting dalam memperkukuhkan keyakinan pengguna terhadap hidrasi yang selamat, tulen dan lestari,” katanya.
Produk Spritzer yang menerima pensijilan itu kini boleh menggunakan tanda rasmi pensijilan NSF serta disenaraikan di laman web NSF, sekali gus memudahkan pengguna dan peruncit mengenal pasti produk yang disahkan dengan lebih yakin.
Selain jenama Spritzer, pensijilan NSF itu turut meliputi jenama antarabangsa Spritzer iaitu ACILIS by Spritzer, yang dieksport ke beberapa pasaran terpilih di Asia, Timur Tengah dan rantau antarabangsa lain.
Ditubuhkan pada 1989, Spritzer mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama air mineral semula jadi terkemuka Malaysia menerusi pengurusan sumber air yang mampan, kecemerlangan kualiti dan amalan pembuatan yang bertanggungjawab.
NSF ialah organisasi yang diiktiraf ANSI, manakala pensijilan bebas kualiti minumannya mengesahkan bahawa produk memenuhi piawaian keselamatan yang diiktiraf di peringkat global menerusi analisis menyeluruh terhadap produk dan fasiliti pembuatan.
Keperluan itu juga selaras dengan peraturan serta piawaian yang ditetapkan organisasi pensijilan keselamatan dan kualiti lain seperti Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (US FDA).