Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Krisis Asia Barat: Keretakan Sekutu Barat Ketika Pentadbiran Trump

Azizah Najib
SEKUTU BARAT TRUMP
Kredit: AFP

Krisis yang sedang berlaku antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran kebelakangan ini menjadi perhatian dunia apabila secara tidak langsung menimbulkan dakwaan berlaku keretakan hubungan sekutu Barat antara Trump dan Eropah.

Dalam melihat pendekatan diplomasi antara negara, hubungan antara AS dan Eropah semakin terserlah dari sehari ke sehari menerusi laporan media.

Dari situ, timbul persoalan tentang hubungan antara AS dengan sekutu Eropah.

Adakah tindakan yang diambil menunjukkan hubungan yang semakin renggang antara kedua-duanya selepas Trump memegang tampuk pemerintahan AS?

Menjawab persoalan ini, pakar bidang Sejarah Antarabangsa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Azlizan Mat Enh tampil mengupas lebih lanjut.

Pakar bidang Sejarah Antarabangsa, Prof Madya Dr Azlizan Mat Enh

Ikuti kupasan mendalam beliau mengenai situasi tersebut di bawah.

Trump dan Eropah: Retak dalam Sekutu Barat?

Hubungan antara Amerika Syarikat dan Eropah adalah sangat erat dan terbina sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Selepas 1945, Amerika memainkan peranan penting dalam membangunkan semula Eropah melalui Pelan Marshall, di samping menubuhkan pakatan keselamatan seperti NATO bagi mengekang pengaruh Kesatuan Soviet semasa Perang Dingin.

Hubungan ini berasaskan nilai bersama seperti demokrasi, ekonomi pasaran dan keselamatan kolektif, sekali gus membentuk satu pakatan yang dikenali sebagai hubungan transatlantik.

Sepanjang beberapa dekad, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah sering bekerjasama dalam pelbagai isu antarabangsa, termasuk konflik di Asia Barat.

Kedua-dua pihak berkongsi kepentingan dalam memastikan kestabilan rantau tersebut, khususnya berkaitan keselamatan tenaga, laluan perdagangan dan keselamatan sekutu.

Walaupun wujud perbezaan pendekatan dalam beberapa isu, hubungan ini secara umumnya kekal stabil dan saling melengkapi.

Namun, keadaan mula berubah apabila dasar luar Amerika di bawah pentadbiran Donald Trump menunjukkan pendekatan yang lebih unilateral dan kurang memberi penekanan kepada kerjasama tradisional dengan sekutu Eropah.

Perubahan ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana kekuatan hubungan transatlantik dapat dikekalkan dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa.

Dalam menghadapi perubahan dasar Amerika di bawah Trump, negara-negara Eropah tidak bertindak secara seragam, tetapi secara umum menunjukkan kecenderungan untuk mengekalkan pendekatan yang lebih berhati-hati dan berasaskan diplomasi.

Perjanjian nuklear Iran

Pemasangan nuklear di Iran. Kredit: AFP/Sylvie Husson, Nalini Lepetit-Chella, Sabrina Blanchard

Dalam isu perjanjian nuklear Iran atau Joint Comprehensive Plan of Action (JCPOA) misalnya, negara seperti Jerman, Perancis dan United Kingdom berusaha mengekalkan perjanjian tersebut walaupun Amerika Syarikat menarik diri.

Eropah melihat diplomasi sebagai kaedah terbaik untuk mengawal program nuklear Iran dan mengelakkan konflik berskala besar di Asia Barat.

Selain itu, Eropah juga tidak bersetuju dengan pendekatan Donald Trump kerana dasar tekanan maksimum terhadap Iran bukan sahaja menyasarkan Tehran, malah turut menjejaskan kepentingan ekonomi negara-negara Eropah.

Sekatan ekonomi Amerika memberi kesan langsung kepada syarikat dan perdagangan Eropah, khususnya melalui tekanan terhadap syarikat yang mempunyai hubungan dengan Iran.

Pada masa yang sama, dasar ini turut meningkatkan ketegangan di rantau Teluk yang berpotensi mengganggu laluan tenaga strategik seperti Selat Hormuz.

Selat Hormuz. Kredit: Google Maps

Dalam keadaan ini, Eropah melihat pendekatan tersebut sebagai terlalu berisiko, bukan sahaja dari sudut keselamatan, tetapi juga terhadap kestabilan ekonomi dan sosial mereka sendiri.

Perbezaan kepentingan dan pendekatan ini sekali lagi memperlihatkan jurang yang semakin ketara antara Amerika dan Eropah dalam menangani konflik Iran.

Atas sebab itu, beberapa negara Eropah tidak cenderung untuk menyertai secara aktif cadangan Amerika Syarikat menghantar kapal perang bagi membuka semula atau mengawal Selat Hormuz.

Jerman secara terbuka menolak penglibatan ketenteraan dan menegaskan bahawa negara itu tidak akan menjadi sebahagian daripada konflik tersebut, manakala Sepanyol juga menyatakan ia tidak akan mengambil bahagian dalam operasi ketenteraan di Selat Hormuz.

Perancis pula mengambil pendirian yang lebih berhati-hati, apabila Paris menolak untuk menyertai operasi ketenteraan bagi ‘membuka’ Selat Hormuz ketika perang masih berlangsung, walaupun bersedia mempertimbangkan misi pengiring kapal dagang hanya selepas keadaan reda dan melalui kerangka antarabangsa yang lebih luas.

Kredit: AFP

United Kingdom dan Itali juga tidak menunjukkan komitmen untuk menyertai asakan ketenteraan yang lebih luas.

Sehingga kini, negara-negara Eropah seperti United Kingdom, Perancis, Jerman dan Itali tidak menunjukkan komitmen untuk menghantar kapal perang bagi menyertai cadangan Amerika Syarikat . Walaupun UK mengekalkan kehadiran tentera laut di kawasan Teluk, tetapi adalah bagi melindungi laluan perdagangan. Penglibatan tersebut kekal terhad kepada keselamatan maritim dan tidak melibatkan penyertaan dalam konflik terhadap Iran

Pada masa yang sama, Eropah juga mula menunjukkan tanda-tanda untuk mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada Amerika dalam hal keselamatan dan dasar luar.

Perbincangan mengenai “strategic autonomy” atau autonomi strategik semakin mendapat perhatian dalam kalangan pemimpin Eropah, khususnya dalam konteks keselamatan serantau dan hubungan antarabangsa.

Langkah ini mencerminkan usaha untuk membina keupayaan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada kepimpinan Amerika.

Kehadiran NATO dalam mengikat hubungan AS-Eropah

KRedit: AFP/Mandel Ngan

Namun begitu, hubungan antara Eropah dan Amerika tidak terputus sepenuhnya. NATO masih kekal sebagai pakatan keselamatan utama, dan kerjasama antara kedua-dua pihak tetap wujud dalam pelbagai isu global.

Walaupun terdapat perbezaan pendekatan, khususnya dalam isu Asia Barat, kedua-dua pihak masih berkongsi kepentingan asas dalam mengekalkan kestabilan antarabangsa.

Keadaan ini menunjukkan bahawa hubungan antara Amerika dan Eropah tidak semestinya mengalami perpecahan mutlak, tetapi lebih kepada proses penyesuaian terhadap perubahan dasar dan realiti geopolitik semasa.

Dalam konteks Asia Barat, perbezaan pendekatan ini turut mempengaruhi cara konflik ditangani, sama ada melalui tekanan ketenteraan atau saluran diplomasi.

Justeru, persoalan ‘retak’ dalam sekutu Barat bukan merujuk kepada perpecahan, tetapi mencerminkan perubahan dalam corak kepimpinan dan strategi dalam menangani isu antarabangsa.