Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KPKT Lancar Kempen Kitar Semula Kebangsaan 2026, Sasar 53% Pengalihan Sisa Menjelang 2035

KPKT Lancar Kempen Kitar Semula
Kredit: KPKT

KPKT Lancar Kempen Kitar Semula Kebangsaan 2026, Sasar 53% Pengalihan Sisa Menjelang 2035

KUALA LUMPUR, 24 JUN 2026 – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan  (KPKT) hari ini melancarkan Kempen Kitar Semula Kebangsaan 2026 bertemakan  “Daripada Sisa Kepada Sumber” di WOW Plaza, LaLaport Bukit Bintang City  Centre, sebagai langkah strategik memperkukuh pelaksanaan Blueprint Ekonomi  Kitaran Bagi Sisa Pepejal (2025–2035). 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming berkata kempen  ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk  mempercepatkan peralihan negara ke arah ekonomi kitaran yang lebih mampan  dengan sasaran meningkatkan kadar pengalihan sisa daripada tapak pelupusan  kepada 53 peratus menjelang tahun 2035. 

Kredit: KPKT

“Ia juga bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan serta  memastikan sumber yang masih mempunyai nilai ekonomi dapat dipulihkan, diproses  dan dimanfaatkan semula. 

“Dalam dunia yang berdepan ketidaktentuan rantaian bekalan global, sisa bukan lagi  sesuatu yang perlu dibuang tetapi sumber yang perlu dipulihkan.

"Kitar semula bukan  sekadar amalan hijau, malah merupakan strategi ekonomi negara bagi menjamin  keselamatan sumber dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah  import,” kata beliau. 

Dalam pada itu, KPKT menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan  Pembersihan Awam (SWCorp) akan memperhebatkan penguatkuasaan pengasingan  sisa di punca (Separation at Source), khususnya di sektor komersial, industri dan  institusi secara berperingkat. 

Beliau berkata SWCorp juga akan melaporkan kemajuan pelaksanaan dan tindakan  penguatkuasaan kepada KPKT secara berkala bagi memastikan usaha ini  diperkasakan secara berterusan. 

Pada awal bulan ini, KPKT telah bersetuju untuk untuk mewajibkan penyediaan Fasiliti Pengitaran Semula di semua pusat beli-belah sebagai salah satu syarat  permohonan dan pembaharuan lesen premis perniagaan di bawah PBT secara  berperingkat bagi memperkukuh pengurusan sisa pepejal, memperluas amalan  ekonomi kitaran serta memudahkan orang ramai mengitar semula sisa buangan.

Kredit: KPKT

“Sementara proses pelaksanaan ini dilaksanakan, saya berharap agar pusat beli belah di seluruh negara dapat menggalakkan para penyewa makanan dan minuman  untuk mengasingan sisa buangan dan menghantar bahan kitar semula ke Fasiliti  Pengitaran Semula yang disediakan,” kata YB Tuan Nga Kor Ming. 

KPKT menegaskan bahawa kejayaan agenda ekonomi kitaran tidak boleh dipikul oleh  Kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan whole of nation yang  melibatkan kerjasama erat antara kerajaan, industri, pengeluar produk, pengusaha  pusat beli-belah, pengitar semula, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat dan  seluruh rakyat Malaysia. 

Bagi memastikan agenda nasional ini mencapai objektifnya, KPKT menyeru seluruh  rakyat Malaysia membudayakan amalan Ekonomi Kitaran 9R iaitu menolak  (Refuse), memikir semula (Rethink), mengurangkan (Reduce), mengguna  semula (Reuse), membaiki (Repair), membaharui (Refurbish), mengilang semula  (Remanufacture), menyesuaikan semula (Repurpose), mengitar semula  (Recycle) dan memperoleh semula (Recover) bagi memastikan bahan yang dikitar  semula adalah bersih, berkualiti dan mempunyai nilai pemulihan yang lebih tinggi. 

Kredit: KPKT

Majlis turut menyaksikan pelancaran kiosk “Sort & Drop - Recycle the Cartons” hasil  kerjasama strategik antara Tetra Pak, KPT Recycle dan LaLaport Bukit Bintang City  Centre bagi memudahkan orang ramai mengasingkan dan mengitar semula kotak  minuman terpakai. 

Sebagai penghargaan terhadap komitmen pelbagai pihak dalam menjayakan agenda  ekonomi kitaran negara, KPKT turut menyampaikan Sijil Penghargaan Khas kepada  rakan-rakan strategik daripada sektor swasta, persatuan perniagaan, pengusaha  pusat beli-belah, pengitar semula dan institusi pendidikan.