Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna terus mempergiat operasi penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi di daerah itu termasuk kawasan perairan berhampiran.
Menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini, KPDN Semporna memaklumkan pihaknya menerima satu kes serahan daripada Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak melibatkan rampasan barangan kawalan yang dipercayai disimpan tanpa permit sah.
Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan yang dijalankan di hadapan Jeti Umum Semporna semalam turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan.
Antara barangan yang dirampas termasuk sebuah bot fiber bersama enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda (HP), 310 liter petrol, 400 liter diesel, dua unit bateri, satu set sistem pendikit (throttle), sebuah kereta sorong serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan berjumlah RM2,082.70, manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dan peralatan lain mencecah RM30,365.40.
“Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, KPDN memberi amaran tegas kepada mana-mana individu atau syarikat agar sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurut kementerian itu, individu yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan meningkat kepada RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.