Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menerima watikah pelantikan daripada beberapa duta asing baharu dalam satu upacara rasmi di Pyongyang, Ahad lalu.
Menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), upacara itu melibatkan wakil dari Rusia, Sweden, Indonesia, Vietnam, Brazil, Republik Czech, India, Filipina, Thailand dan Bangladesh.
Menerusi majlis sama, Kim turut menyampaikan pendirian negaranya berhubung dasar ketenteraan serta hubungan antarabangsa ketika keadaan dunia semakin tidak menentu.
Beliau menegaskan bahawa Korea Utara tidak berhasrat menguasai rantau ini atau meluaskan pengaruhnya, sebaliknya pembangunan ketenteraan dilakukan demi mempertahankan kedaulatan negara.
Kim Jong-un Terima Watikah Pelantikan 10 Duta Asing

Kim berkata, keadaan keselamatan di Korea Utara serta persekitaran politik dan ketenteraan Asia Timur memerlukan negaranya memiliki keupayaan pertahanan sendiri.
“Keadaan keselamatan di Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) serta persekitaran politik dan ketenteraan di Asia Timur mendesak kami membina kekuatan dan keupayaan sendiri bagi menjamin keselamatan serta keamanan,” katanya.
Beliau turut menggambarkan keadaan dunia yang semakin tidak stabil apabila sesetengah negara mengutamakan kepentingan sendiri sehingga mengetepikan undang-undang antarabangsa dan mencabuli kedaulatan negara lain.
Bagaimanapun, Kim menegaskan dasar ketenteraan dan hubungan luar negaranya bersifat mempertahankan diri, bukannya bertujuan mengancam negara lain.
“DPRK tidak mengejar penguasaan atau peluasan wilayah. Sikap angkuh dan tekanan tidak mempunyai kaitan dengan dasar luar DPRK,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyatakan kesediaan Pyongyang memperkukuh hubungan persahabatan serta kerjasama dengan negara yang menghormati kedaulatannya.
Menteri Luar Korea Utara, Choe Son-hui turut menghadiri upacara berkenaan yang berlangsung selepas pindaan perlembagaan negara itu pada Mac lalu.
Pindaan tersebut memberikan kuasa kepada pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Negara, jawatan yang disandang Kim, untuk menerima watikah pelantikan diplomat asing.
Sebelum ini, tanggungjawab berkenaan terletak di bawah bidang kuasa pengerusi Jawatankuasa Tetap Perhimpunan Rakyat Tertinggi Korea Utara.
Datuk Kim, Kim Il-sung yang juga pengasas negara itu pernah menerima sendiri watikah duta asing, manakala tugas tersebut dilaksanakan pengerusi jawatankuasa berkenaan ketika era Kim Jong-il.
Penganalisis melihat upacara itu sebagai usaha memperkukuh kedudukan Kim sebagai ketua negara dengan menunjukkan beliau sendiri menjalankan tanggungjawab diplomatik.
Kementerian Penyatuan Korea Selatan turut berpandangan majlis tersebut bertujuan memperlihatkan kedudukan Kim sebagai ketua negara kepada masyarakat dalam dan luar Korea Utara.
Jurucakap kementerian, Yoon Min-ho berkata, ucapan Kim turut mencerminkan pendirian dasar luar Pyongyang yang terus menekankan kepentingan pertahanan negara serta kedaulatan.

